Saturday, May 23, 2009

MENGAPA PERLU BERKAT ?

بسم الله الـــرحمن الرحيم
الحـــمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلر آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Terlintas di fikiran untuk merasai nasi ayam di cafe Ridz. Janji dengan beberapa rakan telah diatur untuk makan bersama di sana. Malangnya, berkemungkinan bukan rezeki saya malam ini kerana, nasinya ada, ayamnya pula barangkali belum sempat dimasak. Tidak mengapalah.

Kempunan rasanya. Kecewa juga menyapa hati. Namun, segunung syukur ku sembahkah kepada Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam kerana, kempunan itu cuma fizikal, rohani pula mendapat juadahnya.

“Mesti berjimat, yang tidak habis, usah dibuang. Baru adanya berkat. Bagaimana mahu keberkatan jika adanya pembaziran? Bukankah pembaziran itu sahabatnya syaitan?” ramah pakcik itu memulakan bicara. Saya duduk diam memasang telinga mendengar apa yang dibicarakan. Saya tidak begitu mengenalinya. Apa yang saya tahu, dia dahulu seorang guru di sebuah sekolah menengah agama di negeri Johor. Musafir ke Mesir untuk mendalami bahasa arab. Tidak mengapa, yang penting, didengari apa yang dibicarakan bukan melihat siapa yang sedang berbicara.

Usai berbual, menyusun jari bersalaman dan dia meninggalkan kami. Termanggu seketika. Betul. Berkat itu adalah satu perkara yang kian dilupai. Ramai para penuntut ilmu kurang mengerti akan keberkatan, termasuk diri saya yang lemah ini. Ya, untuk hidup perlunya berkat. Berkat itu bersifat subjektif untuk ditafsirkan dan ia bukanlah seperti sesuatu benda berjasad yang boleh dizahirkan.

KENAPA PERLU BERKAT?

Menurut kamus Al-Marbawi, berkat ertinya : bahagia dan manfaat. Ia amat dititik beratkan di dalam kehidupan. Jika mahukan ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat ia memerlukan keberkatan.

Firman Allah swt dalam surah Al-Akraf ayat 96 :

Dan ( Tuhan berfirman lagi ): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan ) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan ( rasul kami ) lalu kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Firman Allah lagi dalam surah Al-An’am ayat 155 :

Dan inilah sebuah kitab ( Al-Quran ) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu hendaklah kamu menurutinya dan bertaqwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

Rasulullah saw pernah mendoakan Abu Sulaim dan Ummu Sulaim : Semoga Allah memberkati kamu berdua.

Kesimpulannya, hanya Islam sahaja yang memandang berat akan keberkatan ini dan dengan keberkatan sahajalah yang boleh mendatangkan kebahagiaan kepada kita di dunia dan akhirat. Sesuatu yang sedikit jika diberkati ia mencukupi dan banyak akan bermanfaat.

Maka tepuklah dada tanyalah iman kita. Apakah keberkatan ini selalu kita utamakan terutamanya dalam menuntut ilmu. Ramai yang menuntut ilmu terutamanya ilmu agama tetapi masih ramai lagi yang melupakan serta meninggalkan keberkatan dalam menuntut ilmu.

Saya menyeru akan diri saya dan semua sahabat, bersamalah kita menjaga adab seharian dan disiplin hidup juga disiplin dalam menuntut ilmu. Semoga Allah memimpin kita dan memberkati kita dengan hari-harinya serta menempatkan kemuliaan kepada kita.

وصلى الله على ســيدنا محـــمد وعلى آله وأصحابه وسلم

0 fikrah:

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN