Friday, May 22, 2009

EPILOG DI BILAHAN HARI

بسم الله الـــرحــــــــــمن الرحيم
الحــــــــــــــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشــــــــــرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجـــمعين وأما بعد

PEPERIKSAAN berbaki dua kertas lagi. hampir genap tiga tahun aku berada di perantauan, berjauhan daripada ibu bapa sanak saudara demi mengejar cita dan impian. Hakikat satu impian memerlukan usaha dan setiap usaha memerlukan kesabaran dan kesungguhan tanpa mengesampingkan istiqomah dan tawakal kepada Allah swt. Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Nyata bahawa bilahan hari-hari yang mendatang begitu sahaja aku biarkan. Begitu mudah aku dicantas waktu yang aku sia-siakan.

Rugi ...
**********

Seringkali aku termenung, termanggu sendirian di pembaringan. Apakah aku benar-benar menjiwai apa yang aku alami ini? Apakah aku mudah tersedar setelah lama dibuai angan-angan kosong semata? Apakah nilai yang aku dapat melalui tiga tahun lamanya aku di bumi Mesir? Apakah aku benar-benar meletakkan diri aku dalam acuan yang benar untuk menjadi salah seorang ilmuan tersohor satu masa nanti? Inilah soalan yang sukar diberikan jawapan.

Hambar ...
**********
Aku sering leka dan sentiasa leka di bilahan hari-hari. Yang pergi tidak akan kembali, yang mendatang akan terus datang dan mendekati dan ia akan menjadi sejarah yang tidak boleh diulangi. Leka dan alpa itu sudah tebal di hatiku. Leka dan alpa tu jugalah antara racun jiwaku yang belum lagi aku berjaya aku tawarkan. Namun, satu lagi soalan hatiku, bagaimana akan aku tawarkan racun itu jika leka akan tipuan dunia terus menyelubungi hati? Dan bagaiman pula aku boleh merawat hati ini jika aku mengaku Allah itu Tuhan aku, tetapi aku terus leka da kurang mengingatiNya?

Sedih ...
**********
Tiga tahun berlalu, bilah-bilahan hari terus datang menghampiri dan pergi menjauhi. Mana tingkatan ilmuku? Apakah luas amalan solehku? Ternyata aku hanya seorang manusia yang dilahirkan tidak berilmu dan hingga kini, aku terus membebalkan diri. Kananku dunia yang menipu, kiriku juga dunia yang sentiasa meragui, depan dan belakangku juga dunia, terus keduniaan juga pilihan hati hitamku. Aku tahu dunia ini tipu, aku juga aku dunia ini hanya pinjaman semata, aku tahu semua yang ada padaku adalah sementara dan fanak belaka, namun, inilah aku, lemahnya aku, terlalu mudah diperdayai oleh dunia.

Kecewa ...
**********
Tiga tahun berlaku, bilah-bilahan hari terus datang menghampiri dan pergi menjauhi. Apakah aku sudah memenuhi impian kedua ibu bapaku? Harapan ahli keluargaku? Harapan masyarakatku yang memerlukan perubahan hidup agar sentiasa menjadi Islam yang utama? Nyata, aku bukan seperti yang diharapkan, aku bukan seperti yang diimpikan. Aku hanya sekadar mengimpikan sesuatu dalam sedar. Aku lupa bahawa segalanya memerlukan usaha, pengorbanan. Aku juga lupa bahawa yang bulat tidak sesekali akan datang bergolek, pipih juga tidak akan datang melayang.

Di mana sebenarnya aku?

Bantulah aku dalam menjejaki dunia yang nyata. Bantulah aku agar tidak tersesat dalam nyata. Bantulah aku agar tidak leka akan fatamorgana dunia yang menipu balaka.

Namun, aku tetap aku, seorang manusia biasa seperti semua. Taqwa kepada yang Esa itulah beza darjatnya kita sesama kita. Selagi aku bergelar manusia, selagi itu pimpinan dan tunjuk ajar aku perlukan. Aku bukanlah sipencari di manakah dia Al-Ghazali, di manakah dia As-Syafie, tetapi cukuplah bagiku terus menyelusuri denai-denai yang pernah dilalui Al-Ghazali dan As-Syafie.

Bantulah aku ... Ya Allah.

وصلى الله على سـيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وســـلم

1 fikrah:

Ibnu Ali said...

Kawan-kawan sedia membantu.. tapi diri sendiri kena kuat..

Kawan2 mungkin boleh memberi nasihat.. tapi diri sendiri kena kuat terima nasihat..

Kawan2 mungkin nampak tak ikhlas.. Tapi diri2 sendiri kena ikhlas..

Kekuatan itu Allah memberinya, kerana Allah Maha Kuat. Selanyaknya kepada dia mengadu.. Dengan perkataan dan luahan (blog) sudah diselesaikan.. Kini sampai giliran 'amalan' ditatbiqkan..

Mungkin ini kata hilang dibawa angin.. Sebab yang cakap ni belum tentu buatnya..

Wallahua'lam

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN