Saturday, May 23, 2009

LUAHAN HATI SEORANG PAKCIK

بسم الله الـــرحمن الرحيم
الحــــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشـــرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Bersyukur saya kehadrat Allah swt kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Sudah hampir sebulan sebenarnya saya memohon visa. Sepengalaman lepas, cuma dua minggu sahaja daripada tarikh permohonan untuk pergi kali kedua ke Jabatan Imegrisen Buuth Islami untuk cop visa tersebut. Tetapi, entah mengapa, mungkin dengan rasa malas dan bulan ini pula sibuk dengan peperiksaan, mungkin itu faktor saya tertangguh untuk mendapatkan cop visa dari minggu ke minggu.

Semalam ( jumaat, 22 Mei 2009) saya berjanji dengan seorang teman untuk sama-sama pergi dan dia pun mempunyai urusan yang sama. Seawal jam 6.45 pagi, kami berdua menaiki teksi untuk ke sana. Dengan tujuaan, boleh siap awal jika pergi awal. Sepengalaman lepas, passport akan dikumpulkan dan nama akan ditulis di atas sehelai kertas. Orang pertama hingga bilangan ke 60 sahaja akan dilayan untuk urusan visa. Tetapi hari ini, berlainan sedikit, cuma beratur dan serahkan sahaja passport kepada pegawainya. " Alaaa...sama sahaja kalau pergi pukul 9 pun" kata teman kepasa saya. Saya cuma tersenyum.

Apa yang hendak dikongsikan ialah, saya kerap kali juga menaiki teksi kemana jua hatta ke kuliah pun. Ramai juga pemandu teksi yang memuji akan kebijaksanaan Tun Dr Mahadir dalam sistem pentadbiran dan ekonomi sehingga Mesir juga pernah meminta nasihat dalam bidang ekonomi yang menyebabkan ekonomi Mesir meningkat.

Cuma, ammu ini, lain sedikit. Dia mulakan perbualan dengan menggunakan bahasa arab fushah walaupun ada terselit loghat ammiah mersinya itu. " Syariah Qanun atau Islamiah" tanyannya, "Islamiah"..jawab kami.

"Malaysia bagus, mata wang tinggi, gaji tinggi, Mahadir Muhammad bagus" ujarnya menyambung perbulan.

"Mesir pun bagus, preseden pun baik" sampuk kami membalas puji. "Tidak, mesir tidak bagus" ujarnya kembali dengan suara yang agak tinggi sedikit. Kami sekadar tersenyum.

"Kamu tahu, aku ini jurutera pertanian, tapi gaji aku tidak cukup untuk aku dan keluarga aku. Itulah sebanya aku memandu teksi sebagai kerja sambilan ketika cuti."

"Kamu tahu? Mesir ini tidak bagus, displin rakyatnya tidak bagus, gaji rendah. Aku cuma mendapat gaji LE 680 sebulan sebagai seorang jurutera. Cukupkah untuk aku dan anak-anak aku?" sambungnya.

"Aku juga ada kawan, seorang doktor, pun ketika cuti, dia memandu teksi untuk cari pendapatan tambahan. Bayangkan. Aku jurutera, dia doktor. Di Malaysia kamu pernah jumpa seorang jurutera atau doktor memandu teksi?"...kami cuma menggeleng.

Banyak lagi sebenarnya yang dibualkan. Tidak perlulah diceritakan semuanya. Saya terfikir, kalau rakyatnya sendiri mengeluh dengan negaranya sendiri, apatah lagi kita orang asing. Biasa sangat siapa yang duduk di Mesir ini, jika berurusan, lambat, "datang esok" dan sebagainya. Kita juga sering merungut akan kekasaran meraka, kebiadapan, tidak berdisiplin dan sebagainya. Inilah hakikatnya. Jadi, sabar sahajalah ...

وصلى الله على ســيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وســلم

MENGAPA PERLU BERKAT ?

بسم الله الـــرحمن الرحيم
الحـــمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلر آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Terlintas di fikiran untuk merasai nasi ayam di cafe Ridz. Janji dengan beberapa rakan telah diatur untuk makan bersama di sana. Malangnya, berkemungkinan bukan rezeki saya malam ini kerana, nasinya ada, ayamnya pula barangkali belum sempat dimasak. Tidak mengapalah.

Kempunan rasanya. Kecewa juga menyapa hati. Namun, segunung syukur ku sembahkah kepada Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam kerana, kempunan itu cuma fizikal, rohani pula mendapat juadahnya.

“Mesti berjimat, yang tidak habis, usah dibuang. Baru adanya berkat. Bagaimana mahu keberkatan jika adanya pembaziran? Bukankah pembaziran itu sahabatnya syaitan?” ramah pakcik itu memulakan bicara. Saya duduk diam memasang telinga mendengar apa yang dibicarakan. Saya tidak begitu mengenalinya. Apa yang saya tahu, dia dahulu seorang guru di sebuah sekolah menengah agama di negeri Johor. Musafir ke Mesir untuk mendalami bahasa arab. Tidak mengapa, yang penting, didengari apa yang dibicarakan bukan melihat siapa yang sedang berbicara.

Usai berbual, menyusun jari bersalaman dan dia meninggalkan kami. Termanggu seketika. Betul. Berkat itu adalah satu perkara yang kian dilupai. Ramai para penuntut ilmu kurang mengerti akan keberkatan, termasuk diri saya yang lemah ini. Ya, untuk hidup perlunya berkat. Berkat itu bersifat subjektif untuk ditafsirkan dan ia bukanlah seperti sesuatu benda berjasad yang boleh dizahirkan.

KENAPA PERLU BERKAT?

Menurut kamus Al-Marbawi, berkat ertinya : bahagia dan manfaat. Ia amat dititik beratkan di dalam kehidupan. Jika mahukan ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat ia memerlukan keberkatan.

Firman Allah swt dalam surah Al-Akraf ayat 96 :

Dan ( Tuhan berfirman lagi ): Sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka ( pintu pengurniaan ) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan ( rasul kami ) lalu kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Firman Allah lagi dalam surah Al-An’am ayat 155 :

Dan inilah sebuah kitab ( Al-Quran ) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu hendaklah kamu menurutinya dan bertaqwalah kepada Allah, mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

Rasulullah saw pernah mendoakan Abu Sulaim dan Ummu Sulaim : Semoga Allah memberkati kamu berdua.

Kesimpulannya, hanya Islam sahaja yang memandang berat akan keberkatan ini dan dengan keberkatan sahajalah yang boleh mendatangkan kebahagiaan kepada kita di dunia dan akhirat. Sesuatu yang sedikit jika diberkati ia mencukupi dan banyak akan bermanfaat.

Maka tepuklah dada tanyalah iman kita. Apakah keberkatan ini selalu kita utamakan terutamanya dalam menuntut ilmu. Ramai yang menuntut ilmu terutamanya ilmu agama tetapi masih ramai lagi yang melupakan serta meninggalkan keberkatan dalam menuntut ilmu.

Saya menyeru akan diri saya dan semua sahabat, bersamalah kita menjaga adab seharian dan disiplin hidup juga disiplin dalam menuntut ilmu. Semoga Allah memimpin kita dan memberkati kita dengan hari-harinya serta menempatkan kemuliaan kepada kita.

وصلى الله على ســيدنا محـــمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Friday, May 22, 2009

EPILOG DI BILAHAN HARI

بسم الله الـــرحــــــــــمن الرحيم
الحــــــــــــــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشــــــــــرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجـــمعين وأما بعد

PEPERIKSAAN berbaki dua kertas lagi. hampir genap tiga tahun aku berada di perantauan, berjauhan daripada ibu bapa sanak saudara demi mengejar cita dan impian. Hakikat satu impian memerlukan usaha dan setiap usaha memerlukan kesabaran dan kesungguhan tanpa mengesampingkan istiqomah dan tawakal kepada Allah swt. Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Nyata bahawa bilahan hari-hari yang mendatang begitu sahaja aku biarkan. Begitu mudah aku dicantas waktu yang aku sia-siakan.

Rugi ...
**********

Seringkali aku termenung, termanggu sendirian di pembaringan. Apakah aku benar-benar menjiwai apa yang aku alami ini? Apakah aku mudah tersedar setelah lama dibuai angan-angan kosong semata? Apakah nilai yang aku dapat melalui tiga tahun lamanya aku di bumi Mesir? Apakah aku benar-benar meletakkan diri aku dalam acuan yang benar untuk menjadi salah seorang ilmuan tersohor satu masa nanti? Inilah soalan yang sukar diberikan jawapan.

Hambar ...
**********
Aku sering leka dan sentiasa leka di bilahan hari-hari. Yang pergi tidak akan kembali, yang mendatang akan terus datang dan mendekati dan ia akan menjadi sejarah yang tidak boleh diulangi. Leka dan alpa itu sudah tebal di hatiku. Leka dan alpa tu jugalah antara racun jiwaku yang belum lagi aku berjaya aku tawarkan. Namun, satu lagi soalan hatiku, bagaimana akan aku tawarkan racun itu jika leka akan tipuan dunia terus menyelubungi hati? Dan bagaiman pula aku boleh merawat hati ini jika aku mengaku Allah itu Tuhan aku, tetapi aku terus leka da kurang mengingatiNya?

Sedih ...
**********
Tiga tahun berlalu, bilah-bilahan hari terus datang menghampiri dan pergi menjauhi. Mana tingkatan ilmuku? Apakah luas amalan solehku? Ternyata aku hanya seorang manusia yang dilahirkan tidak berilmu dan hingga kini, aku terus membebalkan diri. Kananku dunia yang menipu, kiriku juga dunia yang sentiasa meragui, depan dan belakangku juga dunia, terus keduniaan juga pilihan hati hitamku. Aku tahu dunia ini tipu, aku juga aku dunia ini hanya pinjaman semata, aku tahu semua yang ada padaku adalah sementara dan fanak belaka, namun, inilah aku, lemahnya aku, terlalu mudah diperdayai oleh dunia.

Kecewa ...
**********
Tiga tahun berlaku, bilah-bilahan hari terus datang menghampiri dan pergi menjauhi. Apakah aku sudah memenuhi impian kedua ibu bapaku? Harapan ahli keluargaku? Harapan masyarakatku yang memerlukan perubahan hidup agar sentiasa menjadi Islam yang utama? Nyata, aku bukan seperti yang diharapkan, aku bukan seperti yang diimpikan. Aku hanya sekadar mengimpikan sesuatu dalam sedar. Aku lupa bahawa segalanya memerlukan usaha, pengorbanan. Aku juga lupa bahawa yang bulat tidak sesekali akan datang bergolek, pipih juga tidak akan datang melayang.

Di mana sebenarnya aku?

Bantulah aku dalam menjejaki dunia yang nyata. Bantulah aku agar tidak tersesat dalam nyata. Bantulah aku agar tidak leka akan fatamorgana dunia yang menipu balaka.

Namun, aku tetap aku, seorang manusia biasa seperti semua. Taqwa kepada yang Esa itulah beza darjatnya kita sesama kita. Selagi aku bergelar manusia, selagi itu pimpinan dan tunjuk ajar aku perlukan. Aku bukanlah sipencari di manakah dia Al-Ghazali, di manakah dia As-Syafie, tetapi cukuplah bagiku terus menyelusuri denai-denai yang pernah dilalui Al-Ghazali dan As-Syafie.

Bantulah aku ... Ya Allah.

وصلى الله على سـيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وســـلم

Tuesday, May 19, 2009

BERSYUKURLAH

بسم الله الرحــــمن الرحيم
الحــــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشــرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجــمعين

Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Esok, 20 Mei 2009, kertas yang kedua untuk peperiksaan semester ini. iaitu Feqh Muqarran. Berbaki dua lagi. Kertas pertama, subjek Al-Quran ( penulisan ) boleh membuatkan saya sedikit tersenyum dan insyaallah saya sentiasa berdoa agar senyuman saya itu membawa erti inilah subjek Al-Quran saya yang terakhir untuk tahun pertama. Ternyata, subjek-subjek yang mendatang seperti esok hakikatnya, mudah tetapi memerlukan ingatan yang tajam dan kefahaman yang baik untuk menjawabnya. Semoga Allah meletakkan kemudahan kepada saya dalam setiap tulisan dan keadaan.

Alhamdulillah, pada tahun ini, saya masih berpeluang merasi keselesaan dalam kepanasan kerana dewan peperiksaan saya di garaj khas yang dibina di sebelah belakang bangunan fakulti Usuluddin. Walau secara keterlaluan, boleh saya umpamakan seperti duduk di dalam ketuhar dan nyata, peluh sentiasa keluar menitik membasahi baju juga kadangkala menitik di kertas jawapan.

Ternyata konsentrasi dan keselesaan untuk menumpukan segala perhatian kepada jawapan bagi setiap soalan sedikit terganggu kerana susana yang agak tidak selesa. Ditambah lagi dengan perasaan marah cepat terzahir apabila berserabut di dalam bas yang cukup sesak untuk ke dewan peperiksaan, namun, itulah tempat saya. Apalah salahnya hanya untuk empat kertas dan hanya untuk dua jam bagi setiap kertas untuk saya berkorban sekelumit daripada melangit tinggi keselesaan yang Allah berikan sepanjang hidup saya.

Saya tetap bersyukur walaupun menjawab dalam keadaan yang agak panas, Allah masih lagi memberikan peluang kapada saya untuk menduduki peperiksaan di Universiti Al-Azhar dan masih lagi tenang dalam menulis jawapan.

Kadang kala selepas melalui sedikit ujian kesusahan yang Allah beri, saya terkadang-kadang tersenyum sendirian kerana, hati ini acap kali merungut ketika musim sejuk dahulu, "bilakah agaknya mahu panas ...?" atas alasan, untuk mandi agak sukar kerana kesejukan walapun pemanas air berfungsi baik. Barulah sedar, bersyukurlah kepada Allah dalam apa jua keadaan sekalipun yang diberi, ia membawa seribu satu rahmat dan kesenangan jika kita sentiasa bersyukur atas anugerahNya.

Sesuatu nikmat jika kita tidak bersyukur malahan sentiasa kufur ia akan bertukar menjadi bala yang akan memfitnah kita kelak. Manakala sesuatu musibah jika kita hadapinya dengan hati yang tenang dan sentiasa mengingati Allah dan meminta pertolongan kepada Allah, maka ia akan menjadi sebab meninggikan darjat kita di sisi Allah swt. Maka, bersyukurlah.

وصلى الله على ســيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وســـلم

Saturday, May 16, 2009

UJIAN : NIKMAT DAN BALA

بسم الله الرحـــــمن الرحيم
الحــــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجــمعين


Qattrunnada : Harapanku
Bersyukur saya kehadrat Ilhai kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Setiap manusia yang dihidupkan di dunia ini mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk menjadi khalifah sebagai pemakmur dunia dengan agama Allah juga sebagai hamba yang mengabdikan diri kepada Allah swt, Tuhan empunya sekalian alam.

Firman Allah swt di dalam surah Al-Baqarah, ayat 30 yang bermaksud " Dan Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat " Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi "... Firman Allah swt lagi di dalam surah Az-Zariat ayat 51 yang bermaksud " Dan tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri (kepadaKu) "

Kehidupan saya, anda dan semua, tidak lari daripada tanggungjawab di atas. Cuma, adakah kita benar-benar bertanggungjawab dalam menjalan amanah yang tidak pernah kita minta ini?.

MANA MILIK KITA ?

Sandiwara pentas dunia amat berliku dan seringkali kita sebagai pelakunnya gagal untuk menjiwai watak yang kita lakunkan. Takdir nasib manusia semuanya berbeza begitu juga dengan peraturan hidupnya. Jika ada yang sama, cuma kebetulan yang jarang kali berlaku.

Namun, adakah kita menyedari bahawa dunia ini sementara cuma? Segala nikmat yang diperolehi sama ada nyata atau tidak semuanya ini adalah pinjaman semata? Jika sedar, apakah kita telah memposisikan diri menjadi hamba Allah yang benar-benar takut akan Qahhar Allah? Adakah kita sedar bahawasanya Ghaffar Alllah itu bagai lautan tidak bertepian? Mengapa juga kita tidak bersyukur?

Semua yang kita nikmati, apa yang kita kecapi, semuanya itu milik Allah jua. Mana milik kita? Tiada satu pun di dalam dunia dan seluruh isinya ini bukan daripada ciptaan Allah jua. Mengapa juga kita sering takbur dan sombong dengan memiliki segala apa milik Allah? Bersamalah kita berdoa kepada Tuhan yang membolak balikkan hati ini agar menetapkan hati kita untuk terus tunduk patuh kepadaNya.

UJIAN SATU NIKMAT, UJIAN JUGA SATU KIFARAH, NIKMAT JUGA SEBAGAI SATU BALA

Dunia kini telah berlaku pelbagai musibah dari sekecil-kecilnya sehinggalah sebesar-besar musibah. Satu-satu musibah yang melanda sama ada dalam bentuk tragedi atau penyakit merupakan satu "pembicaraan" Allah kepada kita sebagai hambanya yang sering alpa.

Ya, jika seseorang itu beramal soleh, mentaati Allah dan menjauhi segala larangannya, jika ditimpakan ujian juga ke atasnya, dia boleh tersenyum lega kerana, itulah tanda bahawa Allah swt ingin menghapuskan segala dosanya dan meninggikan darjatnya agar sesuai dengan ganjaran syurga yang akan diberikan kepadanya. Ya, berbahagialah manusia ini.

Bagi mereka yang ditimpa ujian seperti bencana alam, penyakit atau peperangan yang membawa kepada kebinasaan dan korban berjuta jiwa, ingatlah bahawa Allah sedang murka dan "bicara" Allah amat keras kepada kita. Segeralah bertaubat dan segerahlah kembali kepada segala ajaranNya yang disampaikan memalui rasulNya. Jangan sesekali ingkar akan perintahNya. Ya, inilah hakikatnya, kini, peperangan yang mengorbankan jiwa dan harta serta mencetuskan huru hara di mana-mana sahaja berlaku. Tragedi yang bermula semenjak puluhan atau ratusan tahun dahulu tidak lagi berjaya diselesaikan. Pelbagai resolusi dan persidangan dibuat, namun, resolusi hanya pada kerta, persidangan hanya tinggal meja. Apa penyelesaiannya? Apa kesudahannya? Hanyalah jiwa dan harta yang terus menjadi korban.

Begitu juga dengan keamanan negara tetapi dicemari dengan pelbagai penyakit yang entah mana usulnya? Entah mana datangnya? Enta apa penawarnya?. Begitu juga keamanan yang dicemari dengan jenayah yang pelbagai, itu semua juga "bicara" Allah kepada kita yang tidak ada tujuan lain, untuk memberikan amaran bahawa, terlalu jauh kita melampaui batas. Terlalu banyak mungkar yang tercetus tetapi kita hanya melihat seolah-oleh tiada apa yang berlaku. Ya, kita sewajibnya bersyukur kerana amat bertuah kita menjadi umat Nabi Muhammad saw dimana, umat bagin tidak akan dihamcurkan jika berbuat dosa sepertimana Allah hancurkan umat yang terdahulu. Malah, jika kita bertaubat, pengampunan Allah tiada tepiannya, lebih luas dari dosa yang kita lakukan. Maha penyayangnya Allah, namun, malang sekali kita kita mudah tertipu dengan dunia yang nyata fanaknya.

Namun, perlu diingat juga, jika kita sering ingkar, sering melakukan dosa, tetapi Allah tetap juga berikan nikmatNya kepada kita. Awas, itu tandanya Allah beri secara murka. Ya, Allah akan bagi segala bentuk kemewahan dan kesenangan dunia kepada sesiapa yang Allah suka dan kepada sesiapan yang Allah murka. Kerana Apa? Segala bentuk nikmat dunia tiada apa nilainya kepada Allah. Tapi, awas, dengan nikmat kesenangan itulah yang akan membuatkan kita menyesal tidak berkesudahan dan tidak ada gunanya lagi. Nikmat itulah yang akan melalaikan kita dan terus memfitnah kita di akhirat kelak. Awas, segeralah bertaubat dan infaqlah harta di jalan Allah. Banyakkan bersekah kerana ia penawar penyakit. Tunaikanlah zakat kerana ia akan menyucikan harta. Infaqlah kepada jalan Allah, sesungguhnya, Allah akan membayarnya semula dengan syurga yang tidak tergambar nikmatnya.

SALAM IMTIHAN UNTUK SEMUA

Semoga Allah meluruskan hati kita dan semoga kita terus ikhlas dalam menjalan kewajiban seharian. Sempena peperiksaan semester kedua ini, saya memohon jutaan ampun dan maaf kepada sesiapa sahaja yang mengenali diri ini andai sepanjang kita bermuamalah, banyak kesilapan yang ana lakukan sama ada yang disedari atau pun tidak.

Bersama-samalah kita berdoa kepada Allah agar memberikan kejayaan mutlak di dunia dan akhirat kepada kita semua dan menjadikan kita tentera Allah yang ikhlas berjuang menegakkan syariat Allah dan mengharapkan balasan syurga dengan redhaNya

Thursday, May 14, 2009

SOAL HATI

بسم الله الرحـــمن الرحيم
الحــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشــرف الأنبياء والمرسلن وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد


Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Setiap mansuia mempunyai perasaan yang pelbagai. Umumnya, marah, suka, sedih dan sebagainya. Namun, perasaan yang sukar dibendung adalah perasaan ingin mengasihi dan dikasihi. Satu sifat semulajadi manusia yang cukup abstrak dan kadangkala ia sukar untuk ditafsir secara tepat. Gelodak jiwa yang mengharapkan seseorang yang dikasihi sentiasa di sisi bagi mengisi kekosongan jiwa kerap kali menjadi faktor hambatan jiwa yang kosong.

Siapa yang tidak mahu dikasihi dan siapa pula tidak mahu mengasihi? Mungkin terlalu warak jika ditafsirkan perasaan cinta, kasih dan saying itu hakikatnya milik Allah dan rasulNya, baru kepada insan sesama manusia. Ya, betul, semua akan mengakui akan hakikat itu, Cuma, secara umumya jika dibicarakan mengenai soal hati, ialah sesama manusia tanpa mengesampingkan cinta terhadap Yang Maha Esa dan rasulNya.

Selalu saya merasakan diri inii tidak layak mendapat tempat walau sekelumit ruang di hati wanita. Mungkin terlalu memalukan atau istilahnya mengada-ngada untuk membicarakan hal ini tetapi sebenarnya inilah hakikat yang merundum diri. Diri ini sentiasa akur dan akui, bahawa, paras rupa bukanlah satu aset yang boleh dibanggakan, apatakah lagi dengan harta kemewahan dan kebijaksanaan. Namun ia tidaklah membawa maksud saya tidak bersyukur dengan segala nikmat yang telah dipinjamkan Allah kepada saya dan bukan juga saya kufur dengan nikmat kesempurnaan kejadian cipta diri ini.

Seringkali jika berbual-bual kosong sesama rakan sama ada rakan di Mesir ini atau kenalan-kenalan lama yang berada di Malaysia, jika terpancul dari mulut rakan mengenai soal teman hidup, saya sering “melencong” tajuk menjadi tajuk lain. Sehingga ada kawan yang saya kenal semenjak sekolah rendah lagi cuba untuk memperkenalkan saya dengan sahabat perempuannya. Namun dia jelas tidak sekufu dengan saya. Tidaklah ia membawa maksud diri ini terlalu cerewet memilih, tetapi, wanita itu terlalu tinggi peribadinya berbanding diri saya.

perasan setiap manusia sama dengan fitrah kejadiannya. Hanya ketelusan hati nurani yang suci dan ikhlas berlandaskan ajaran Islam sahaja yang dapat menjertemah makna abstrak sesebuah cinta. (gambar hiasan)
Jika sesama ahli bait ( rakan serumah ) berbual-bual mengenai soal jodoh dan teman hidup. Semua akan mengambil tempat sama-sama berborak. Namun saya acapkali akan mengasingkan diri. Bukan kerana menandakan saya ini warak atau alim-alim kucing, tetapi saya tidak tahu apa yang perlu saya bualkan atau menyampuk perbulan mereka kerana tiada langsung pengalaman bercinta. Cemburu dengan rakan-rakan lain dengan umur yang jauh lebih muda dari saya telah mempunyai pilihan hatinya. Namun, apakah ertinya cemburu itu pada saya.

Jika ditanya pengalaman, ya, diakui saya pernah meluahkan perasaan semasa saya di tingkatan tiga disebuah sekolah menenagh aliran perdana sebelum melanjutkan pelajaran di sekolah menenagah aliran agama, namun, ia ditolak mentah-mentah. Begitu juga semasa saya mengambil STAM, ada juga namun ia rupanya diminati oleh kawan baik saya sendiri, rasa macam kurang maruahnya jika berebut sekuntum bunga. Saya beralah yang tidak membawa maksud kalah , Mungkin itu faktor yang kuat untuk saya jadikan alasan kenapa saya seolah-solah fobia untuk mengenali erti sebuah percintaan.

Saya juga ada perasaan sebagaimana perasaan insan yang lain. Tetapi, mungkin saya perlu akur akan kewujudan saya ini dan apa sebenarnya yang saya perlu lakukan untuk terus hidup di muka bumi ini. Mungkin saya perlu isi kekosongan hati dengan mengingati Allah agar tidak merasa hidup ini kosong kerana hidup saya bukan kerana wanita semata. Banyak lagi perkara yang lebih utama saya cari dan yang lebih utama saya fikirkan. Saya tetap yakin jika sesorang itu ditakdirkan untuk saya, dia tetap milik saya.

وصلى الله على ســيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Wednesday, May 13, 2009

ZAMRY MENTERI BESAR TIDAK SAH?

بسم الله الرحـــــــمن الرحيم
الحـــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجــــمعين وأما بعد


Ku Li : Bubar Dun Perak
Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Kemelut politik Perak kian menemukan jalan buntu. Dua hari lepas, 11 Mei 2009, apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kuasa Menteri Besar Perak yang sah milik kerajaan PR Perak, YAB Dato' Seri Dr. Zamry Abdul Kadir. Namun, selepas lapan jam keesokkan harinya, YAB Dato' Seri Nizar dan exconya diminta mengosongkan pejabat MB kerana mendapat perintah Mahkamah Rayuan yang menerima rayuan Dato' Seri Dr Zamry agar keputusan mahkamah tinggi yang memihak kepada PR Perak ditangguhkan.

Persoalannya, menagapa berlaku begitu? Bukankah Mahkamah Tinggi sudah memutuskan bahawa YB Nizar MB dan YB Zamri tidak sah. Keputusan mahkamah rayuan juga agam memingkan kepala semua terutama rakyat Perak. Zamry dan orang-orangnya senyum hingga ketelinga dengan keputusan itu dan meminta YB Nizar dan exconya keluar daripada peajabat MB dan beliau ( Zamry ) mahu menjalankan tugas semula. Peliknya ialah, status Zamry tidak sah, beliau tidak berhak langsung untuk memasuki pejabat MB malahan tidak berhak langsung untuk membuat persidangan DUN Perak.

Menurut Prof. Dr Abdul Aziz Bari, Pensyarah Fakulti Undang-Undang, UIAM, dalam satu perbualan telefon di TV Antara dipetik sebagai berkata : " itu yang jadi masalahnya, saya rasa keputusan mahkamah tinggi itu lebih logik dan lebih sesuai sebab kalau seseorang itu dihukumkan sebagai tidak sah, bagaimana kita boleh benarkan dia ( YB Zamry ) duduk di situ dan membuat keputusan? So, bagi saya, keputusan mahkamah rayuan itu agak pelik sedikit sebab dia tidak menyentuh pun keputusan mahkamah tinggi yang mengatakan bahawa zamry itu ( MB ) haram, jadi kalau tidak diselesaikan, bagaimana Zambry boleh tinggal di situ ( pejabat MB )? Ini pada saya, agak memeningkan ( terhadap ) keputusan mahkamah rayuan itu."

beliau juga menegaskan, oleh kerana keputusan Dato' Seri Zamry belum dimuktamadkan, beliau tidak berhak menduduki pejabat Menteri Besar. Beliau ( Prof Dr. Abdul Aziz Bari ) menyatakan bahawa, selepas mahkamah memutuskan bahawa zamry tidak sah macam mana zamry boleh dibenarkan menduduki pejabat menteri besar, dan tidak boleh juga memanggil persidangan DUN Perak. Menurut Prof Dr Abd Aziz lagi, perintah mahkamah tinggi itu tidak boleh ditangguhkan lagi kerana dia ( Dato' Seri Zamry ) sudah haram ( tidak sah ).

Oleh itu, jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik yang kian runcing ini, meminta pihak istana membubarkan DUN dan memberi peluang rakyat membuat pilihan semula dalam peliharaya negeri. Pilihanraya negeri juga akan menyelamatkan kita dariopada segala kekeliruan yang timbul dan tidak ada lagi adegan keluar masuk mahkamah mengenai kemelut ini.

Apakah lagi sebenarnya perancangan zalim mereka ( BN ) terhadap PR dan rakyat Perak? Apakah juga lagi niat jahatnya? Kita semua diperbodohkan dan dikelirukan oleh BN sendiri. Adakah mereka tidak berfikir tidak tanduk mereka akan memyebabkan orang semakin menyampah dengan BN dan UMNO. Kepada penyokong UMNO-BN, anda masih menyokong mereka?...sengal !

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

PANDANGAN ORANG

بسم الله الرحــمن الرحيم
الـــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين

gambar sekadar hiasan
Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Setiap manusia mempunyai persepsi mereka sendiri dalam pelbagai aspek, remeh mahupun tidak. Politik contoh yang saya hendak bawa di sini.

Saya mempunyai ramai kawan dari setiap lapisan umur. Sama ada yang lebih muda dari saya atau sebaliknya. Jika sesorang itu bergelar mahasiswa, selayaknya bagi saya, kita megambil tahu serba sedikit mengenai hal-hal tertentu yang boleh dikategorikan sebagai pengetahuan am. Sebagai rakyat Malaysia khasnya, bagi saya, perlu mengambil tahu mengenai apa yang berlaku di Malaysia dari aspek politiknya, sosial dan ekonomi serta berbagai lagi.

Saya menghormati akan semua pandangan orang dan saya akui juga akur, setiap persepsi yang dilontarkan atau apa pun pandangan jua kritikan yang wujud, ia berkait rapat dengan prinsip diri seseorang ataupun mungkin dipengaruhi dengan cara kita berfikir.

Pernah saya bertanya kepada seorag kawan mengenai krisis politik di Malaysia dan mengenai para mahasiswa berpolitik. Pandangannya mudah, apa pun fahaman politik dan parti mana pun sokongannya, asalkan akidah kita tidak goyah, masih selamat. Saya termanggu seketika dan berfikir mengenai persepsinya. Saya akui bahawa, macam mana pun kita berjuang dalam satu-satu bidang atau politik, jika akidah kita serong, ia tetap sia-sia. Saya menyambung kembali soalan mengenai krisis politik di Perak, dengan harapan, saya dapat pelbagai reaksi mengenai hal ini, namun, dengan mudah, jawabannya " tanya sahaja pada orang lain, ana tidak berminat ".

Bukanlah maksud saya, kita perlu memahami apa yang berlaku dengan mengetepikan tujuan utama kita melanjutlan pelajar di Mesir ini, cuma, saya suka mendengar pendapat yang pelbagai dalam satu-satu hal.

Kesimpulan yang saya dapat, bukanlah semua orang minat berpolitik. Apa pun posting saya ini hanya hendak menceritakan tentang kawan saya ini, bukan mahu maksudkan bahawa persepsinya salah.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجــمعين

Tuesday, May 12, 2009

KRISIS POLITIK PERAK : BILAKAH IA AKAN BERAKHIR

بسم الله الرحـــمن الرحيم
الحــــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وآصحابه أجــــمعين

Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Semalam, merupakan detik gembira buat rakyat negeri Perak di mana, kerajaan pilihan rakyat yang digulingkan oleh kerajaan lanun BN apabila menteri besar daripada kerajaan PR diumumkan sebagai menteri besar yang sah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Detik ini memberi seribu satu makna dan sekaligus memulihkan imej institusi kehakiman negara setelah semakin pudar dengan konspirasi yang pelbagai. Kemenangan ini juga memberikan persepsi kepada rakyat bahawa mahkamahlah antara institusi yang ampuh untuk menyelamatkan hak rakyat.

Ketika mana rakyat bergembira dengan keputusan ini, mursyidul 'am PAS, YAB Tuan Guru Dato' Hj Nik Abd. Aziz Nik Mat menasihatkan rakyat dan umat Islam jangan terlalu gopoh dan gembira akan kemenangan ini. Beliau menasihati agar kita umat Islam dapat berpuasa dan solat sunat dua rakaat menyatakan rasa syukur kepada Allah swt. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menyatakan, juga jangan teruja dan rakyat diminta bertenang. Beliau juga menyatakan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan ini secepat mungkin.

Hari ini, satu lagi kejutan telah berlaku di mana, Dato' Seri Dr Zamry memfailkan rayuan agar keputusan mahkamah tinggi yang memberikan kuasa mutlak menteri besar kepada Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin daripada kerajaan PR ditangguh. Dan dengan kuasa Allah swt jua, rayuan ini diterima oleh mahkamah rayuan. Maka lanun kembali berkuasa dan kes ini akan didengar semula secepat mungkin.

Tidak sampai 24 jam keputusan ini dibuat, lanun kembali berkuasa. Inilah krisis dan keme;ut politik tanah air yang amat kalut yang pernah saya ikuti selama 24 tahun saya hidup di muka bumi Allah swt. Adakah keputusan mahkamah rayuan yang menerima rayuan Dr Zamry agar keputusan mahkamah tinggi ditangguh dan membolehkan BN tetap berkuasa dipengaruhi oleh kepentingan politik BN atau sebaliknya? Atau adakah ia meberikan bahawa, sistem kehakiman negara sebenarnya belum seratus peratus menjamin keadilan kemanusiaan yang bersih?

Mungkin tidak selayaknya saya meragui keputusan yang dibuat mahkamah kerana saya bukanlah seorang yang mengetahui atau terlibat secara langsung mengenai undang-undang negara. Namun, ada baiknya jika sebelum keputusan ini dibuat, hakim menilai akan kepentingan dan keharmonian rakyat Perak khasnya dan Malaysia amnya yang mahukan krisis ini segera diselesaikan. Seringkali UMNO-BN menuding jari kepada PR mengatakan PR memalukan negara, PR tidak sopan dan tidak menghormati undang-undang dan raja juga sabagainya. Mengapa PR dituduh begitu? Mengapa para menyokong setia UMNO-BN tidak menilai tindak tanduk para pembesar BN di Perak yang jelas merampas kuasa sewenang-wenangnya? Jelas, terang lagi bersuluh akan sifat lanun BN itu.

Kini, kuasa mahkamah yang diharapkan rakyat dapat mengembalikan semula kuasa pemerintahan Perak kepada kerajaan plihan hati rakyat Perak. Setelah mana kuasa raja yang diimpikan dapat mempertahankan kuasa dan hak yang nyata, jelas mengecewakan, tumpuan rakyat kini pada kebijaksanaan para hakim yang arif dan bijaksana mengendalikan kes menurut fakta tanpa dipengaruhi oleh mana-mana anasir luar yang membawa mesej kezaliman.

Besar harapan saya akan kita sebagai umat Islam terus berdoa kepada Allah swt, memohon agar menyatakan segala yang hak dan menghapuskan segala yang batil. Wahai Tuhan yang mengusai setiap gerak geri manusia dan isi alam, Engkau musnahkanlah segala kebatilan dan mereka yang membawa kebatilan itu dan Engkau zahirkanlah segala yang benar dan berikanlah kemenangan kepada mereka yang sentiasa memperjuangan kebenaran atas jalanMu ya Allah.

وصلى االه على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Monday, May 11, 2009

YANG BENAR TETAP BENAR, BATIL TETAP BATIL

بسم الله الرحـــمن الرحيم
الحــــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وآصحابه أجــــمعين

Bersyukur saya kehadrat Allah swt kerana diberikan nikmat iman dan Islam serta kesihatan tubuh badan yang berkekalan untuk terus berbakti.

Lama sudah saya tidak mengisi blog ini. Sesawang lelabah maya sudah pun jelas kelihatan. Namun, untuk sekian kalinya saya nyatakan, bukan mudah untuk menjadi seorang penulis walaupun ianya bukan penulisan berbentuk ilmiah atau kreatif.

Alhamdulillah, saya bersyukur kehadrat Allah swt yang telah memberikan kemenangan kepada kerajaan Pakatan Rakyat, Perak pada hari ini dengan mengembalikan semula kuasa Menteri Besar kepada YAB Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, setelah 96 hari kerajaan lanun BN merampas kuasa semenjak februari lalu.

Keputusan mengenai hak MB Perak tetap milik kerajaan PR diumumkan oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim.

Begitulah hakikatnya. Hakikat di mana, jika telah datang kebenaran, maka akan hancur musnahlah kebatilan. Yang hak itu tetap akan menjelma walaupun diselubungi oleh kebatilan yang menebal. Ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran ;

وقل جـــاء الحق وزهق البَاطل إِنَّ الـبَاطِلَ كَانَ رَهٌـوقا

Dan katakanlah : Telah datang kebenaran ( Islam ), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik), sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang telah lenyap
Pun begitu, Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Dato Hj Nik Abd Aziz Nik Mat menasihatkan kepada kita umat Islam agar tidak terlalu gopoh dalam meraikan kemenangan ini. Bersyukurlah kepada Allah, Tuhan empunya segala kekuasaan langit dan bumi. Beliau juga menyeru agar kita dapat berpuasa esok hari dan bersolat sunat syukur dua rakaat tanda kita menzahirkan rasa syukur atas kemenangan ini.

Besar harapan saya agar rakan-rakan sekalian, para pendukung semangat dan panji perjuangan Islam di tanah air agar sentiasa berdoa kepada Allah agar segala bentuk rancangan zalim pihak musuh tidak dapat lagi dilaksanakan. Biarpun mahkamah memutuskan MB Perak adalah daripada kerajaan PR Perak, namun, yang zalim tidak akan berdiam diri. Mereka akan terus berusaha dengan menggunakan segala bentuk kekuatan yang ada untuk terus menzalimi rakyat.

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN