Monday, February 23, 2009

KASPERSKY ANTI VIRUS 7.0 DAN KASPERSKY INTERNET SECURITY 7.0

بسم الله الــرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمـــعين

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Rabbul Jalil kerana diberikan cahaya Iman dan Islam dan segala nikmat kepada kita dan seluruh isi alam ini untuk terus berbakti kepadaNya.

Ramai diantara kita yang sentiasa memikirkan atau tercari-cari perisian antivirus yang sesuai untuk melindungi komputer peribadi masing-masing. Begitu juga saya. Kita sering bertanya mengenai perisian anti virus manakah yang baik dan dijamin untuk melindungi PC kita. Sepengalaman saya, jika dalam satu masa, saya bertanya dengan sepuluh orang, maka, saya akan menerima sepuluh jawapan dan pendapat yang berbeza.

Saya juga pernah bertanya dengan seorang ustaz, seniur negeri Johor, Ust Asmuni, mengenai perisian ini, mana yang bagus, jawapannya mudah, " Selagi namanya anti virus, engkau guna sahajalah".

Lupakan semua itu, saya ingin berkongsi sedikit dengan para sahabat, antivirus yang saya guna selama ini iaitu daripada Kaspersky. Ada dua jenis perisian ini, Kaspersky Internet Security (KIS) dan Kaspersky Anti Virus (KAV). Saya gunakan KIS 7.0. Kelebihannya, KIS boleh menghalang virus terus dari web yang dibuka dan ia juga berfungsi sebagai anti virus. Kaspersky juga, tersenarai anti virus nombor dua selepas Bitdefender. ( lihat di sini )

Namun, ramai yang menggunakan KIS atau KAV ini namun, license key selalu sahaja black list atau langsung tiada license key, bermakna, trial. Saya ingin berkongsi sedikit bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini jika anda menggunakan KIS atau KAV versi 7

( saya akan kongsi link untuk memuat turun KIS dan KAV 7.0 serta license key di bawah )

Pertama ;

Install KIS atau KAV dengan mengikut segala arahan yang tertera dan setelah selesai, pilih activate later dan restart PC anda



Setelah PC anda berfungsi semula, buka KIS @ KAV anda dan klik pada setting > servis > dan matikan proses Self-Defence option ( hilangkan tanda / pada kotak kecil di sisinya ).


Kedua ;
Klik pada logo K pada menu bar anda dan pilih exit. Ini perlu untuk meng-install program patch untuk KIS @ KAV.


Ketiga;
Install program Pacth. Pilihlah samada pacth untuk KIS atau KAV. Dan selepas itu, open semula KIS atau KAV anda.


Keempat;
Setelah anda mengaktifkan semula KIS @ KAV anda, anda perlu mengaktifkan license key KAV @ KIS anda. Caranya activation > install key > apply existing key . Selesai.


Begitula beberapa cara yang boleh saya kongsikan bersama. Cara yang di atas adalah untuk KIS atau KAV versi 7 sahaja. Versi baru, masih dalam percubaan. Jika berjaya, insyaallah, kita boleh kongsi bersama.

Anda boleh klik di sini untuk memuat turun KAV 7 dan juga di sini untuk memuat turun KIS 7. Untuk license key, sila klik di sini. Klik di sini untuk mendapatkan program pacth KIS dan KIV 7.0 .

Untuk pengetahuan anda, license key yang anda muat turun dari blog saya ini, adalah key yang saya cari melalui google. Jadi, jika ia tidak berfungsi, anda boleh mencarinya sendiri melalui google.com.

Semoga, posting ringkas ini dapat membantu anda dalam memilih perisian anti virus yang sesuai. Namun, ia terpulang kepada anda untuk menggunakan mana-mana anti virus yang anda percayai.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وسلم

Monday, February 16, 2009

IA CEREKA LAMA, DUKANYA JUGA AKAN BERPARUT LAMA




Ia cerita lama sebenarnya. Berlaku sekitar awal bulan febuari ketikamana, satu kejadian samun telah berlaku di negeri Darul Riduan.

Kisahnya rakyat jelata mempertahankan negeri dari disamun dan terus dirompak. Maka rakyat yang terpinga-pinga itu, melihat bahawa, orang melayu mempunyai payung mahkota. Kuasa baginda jualah yang dapat menentukan nasib rakyat melayu senegeri baginda.

Namun, ia tidak dapat dipertahankan, namun rakyat bukan mahu menderhaka, cuma mahukan keadilan dari rajanya. Pantang melayu menderhakai sultannya. Itu pesan tok Tuah kepada semua melayu.

Lupakan semua itu. Tujuan saya menulis posting ringkas ini, mahu menunjukkan bahawa, kita mahukan demokrasi. Kuasa raja-raja melayu menjadi benteng terakhir untuk mempertahankan hak. Namun, ia juga seakan tidak boleh digunakan. Namun, saya tetap menjunjung kadaulatan raja-raja melayu. Daulat Tuanku.

Klip video di atas, merakamkan sebahagian detik yang mencemaskan, menyedihkan dan memualkan. Sedih saya, orang melayu saya diperlaku sebegitu rupa. Dihambat umpama haiwan, ditahan umpama mereka pendatang tanpa izin. Kanak-kanak, wanita, ibu-ibu dan ayah-ayah tua, diperlakukan seperti penjenayah merbahaya. Jerung didepan mata tidak diendahkan, malah dilindungi dan disokongi.

Tuntutannya sungguh mudah, PR Perak 28 kerui, BN Perak juga 28 kerusi. Mana mungkin jika tok Najib kata ada mejoroti lebih daripada PR sedang ia seri. Maka, jika seri, apa mahu buat? Bubar DUN dan undi semula. Thats All.

Namun, jalan kekerasan juga pilihan hati sanubari. Cilok punya cilok, rakyat tidak puas hati dan terus mengamuk. Saya tonton video klip ini, senarionya saling tidak tumpah umpama Memali 1985. Siapa pencetusnya? Jangan tanya saya semula.

Ucapan saya kepada semua penyokong UMNO dan BN, Selamat sejahtera kepada anda dan berbahagialah dengan tindakan sebegitu rupa agar makin kuat kami menentang anda.

Sebelum saya menamatkan kalam, saya nukilkan semula, satu resipi yang ditinggalkan di kotak komen ruang YouTube.com ketika menonton klip video yang bertajuk " Perak Crisis Ir Nizar-Part 2 "...

Resepi : MEMBUAT NEGERI 'HARAM'

Bahan-bahannya ;
3 atau lebih adun lompat dilipat-lipat
1 ekor zombie yang diperap kicap
1 biji S.U.K (di buang otak )
1 batallion FRU
S.B (secukup rasa )
dan yang paling akhir dan tidak menjadi resipi kita tanpa TV1, TV2, TV3 suku, Berita Hairan, Utusan Meloya dan lain-lain ikut selera tuan tuan.

Cara Menyediakannya ;
  1. Hilangkan ADUN selama 4 hingga 5 hari.
  2. Masukkan 1 ADUN dalam adunan sedia ada.
  3. Keluarkan semula ADUN yang dihilangkan tadi, keluarkan semula ADUN 1 dan digaul bersama
  4. Panaskan TV 1, TV 2 dan TV 3 Suku.
  5. Masukkan ADUN-ADUN tadi dengan mangkuk sekali, sambil dikacau dengan Utusan Meloya dan Berita Hairan.
  6. Apabila terbit aroma busuk, barulah masukkan zombi, zombi perlu dimasukkan segera agar tidak pecah tembelang.
  7. KELUAR!!! kan sedikit stok kiub pati SUK
  8. Angkat dan sedia dihidangkan kepada rakyat
Cara menghias;
Bubuhkan FRU sekeliling dan taburkan SB di tengah-tengah. Maka, siaplah ia untuk dihidangkan kepada rakyat. Selamat mencuba.

Saturday, February 14, 2009

QANA'AH : PENDISIPLIN JIWA

بسم الله الرحـــمن الرحيم
الحمد لله وكفى والصلاة والسلام على رسول الذي المصطفى وعلى آله ومن اهدى وأما بعد

Kehidupan kita sebagai manusia meliputi kesenangan, kegembiraan, penderitaan jua keperitan. Roda kehidupan kita yang sentiasa berputar meliputi perasaan suka, duka, gembira dan sebagainya. Adakalanya, kehidupan kita gembira, maka lahirlah perasaan suka dan bahagia, dan adakalanya berlaku sebaliknya.

Sebagai seorang muslim wajib mengimani bahawanya tuhan itu hanya Allah dan mengimani akan qada’ dan qadarNya yang telah ditetapkan sepanjang kehidupan kita, bermula dari umur satu hari hinggalah akhir hayat kelak. Setiap apa yang berlaku kepada kita, ajal maut, jodoh pertemuan, rezeki dan sebagainya semuanya telah ditetapkan oleh Allah swt.

Firman Allah swt ;


Tiada satu bencana pun yang menimpa di Bumi dan tidak pula atas dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (luh mahfuz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu, sungguh mudah bagi Allah.
(surah Al-Hadid:22)


Namun manusia kini, terlalu ramai yang melupai akan hakikat kehidupan dan tujuan mereka diciptakan. Jika ditimpa sedikit kesusahan, akan mudah berkeluh kesah dan kadangkala berputus asa. Seringkali kita jika diuji oleh Allah dengan satu ujian, kita lupa dengan selautan nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita. Nikmat kehidupan, iman dan Islam, kesihatan dan kecergasan, semuanya kita kecapi dari saat dilahirkan lagi.

Benar, kita sebagai manusia sesekali tidak akan puas akan nikmat kehidupan yang diberikan. Segala macam bentuk kemewahan kebendaan dalam kehidupan akan dikejari tanpa rasa puas mahupun cukup. Namun, sebagai seorang muslim, kita mesti menyemai sifat Qana’ah dalam diri agar dapat mendisiplinkan diri menjadi hamba Allah yang mensyukuri segala nikmat.

Qana’ah adalah rasa cukup dan menerima apa yang ada. Setiap sesuatu telahpun Allah tetapkan bahagiannya masing-masing. Menerima seadanya disamping mensyukuri segala nikmat yang dikecapi.

Sifat Qana’ah juga mendidik kita rela menerima apa yang ada dan mensyukurinya. Rajin berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya disamping tidak mengenepikan doa, rawakkal dan syukur kepada Allah. Qana’ah akan menghakis sifat tamak haloba dengan keuntungan duniawi dan hasad dengsi sesama manusia. Bahkan, dengan qana’ah, seseorang muslim itu akan sentiasa rasa puas dan merasakan apa yang diterimanya itu, sudah cukup dan memadai.

Rasulullah saw bersabda : Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak harta,, kekayaan ialah kekayaan jiwa.

Rasulullah saw bersabda lagi : Qanaah itu adalah harta yang tak akan hilang dan pura (simpanan) yang tidak akan lenyap
(HR. Thabarai dari Jabir).

Adakah salah kita mengumpul harta sebanyak-banyaknya? Tidak. Kumpullah segala bentuk kesenangan dan kemewahan dunia agar kita beroleh kemudahan. Tetapi, disiplinkanlah hati dengan merasa syukur kepada Allah dengan kemewahan yang diperolehi. Setiap rezeki yang Allah berikan kepada kita, ada bahagian tertentu yang telah Allah tetapkan agar kita alirkan ia kepada yang berhak menerimanya seperti zakat dan sedekah.

Sejarah telah membuktikan kepada kita, bahawa Islam sesekali tidak melarang menganutnya untuk mengumpul harta dan kaya raya. Saidina Osman Bin Affan, seorang saudagar dan hartawan cukup terkenal ketika itu, lihat pula Nabi Yusuf, menteri kewangan Mesir ketika itu, dan siapa pula dapat menafikan kekayaan Nabi Sulaiman as dengan kekuasaan pemerintahan baginda sebagai seorang raja. Namun semuanya itu, bukan sebagai sumber fitnah dunia kepada mereka kerana, teras iman melahirkan sifat qana'ah dan kejujurkan akan terbit dalam menguruskan harta dunia untuk keredhaan Allah.

Jelaslah kepada kita, dalam urusan kita memakmurkan dunia ini, banyak perkara yang akan menyelubungi kita. Harta kebendaan dunia tidak akan sesekali puas untuk kita cari dan kita kejari. Perebutan demi perebutan akan akan berlaku demi ingin mengecapi kemewahan dunia yang tiada nilai apa-apa di sisi Allah. Bersyukurlah kita kepada Allah di atas segala kurniaan. Semaikanlah sifat qana’ah di dalam jiwa agar kita tidak tergolong dari golongan manusia yang tertipu dengan kesenangan dunia dan menyesal di akhirat kelak.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

Monday, February 09, 2009

DAP & PKR : SOSIALIS & BERMASALAH ?

بسم الله الرحـــمن الرحيم
الحمد لله وكفى والصلاة والسلام على رسول الذي المصطفى وعلى آله ومن اهدى وأما بعد


Alhamdhulillah, syukur saya panjatkan kehadrat Rabbul Jalil diatas kurniaan nikmat Iman dan Islam serta pelbagai nikmat kepada saya dan seluruh hambaNya untuk terus hidup dan berbakti.

Perkembangan politik Malaysia kini pada saya, semakin kalut. Pengkhianatan demi pengkhianat dan cabar mencabar serta desak mendesak sesama sendiri mencerminkan betapa, Malaysia memerlukan "insulin politik" yang benar-benar mujarab. Lanun dalam UMNO dan BN yang merampas Perak seolah-oleh tidak berasa bersalah sedangkan ramai diantara pakar undang-undang Malaysia menyatakan, kerajaan BN yang baru di Perak tidak sah. SUHAKAM sendiri menyatakan, penubuhan kerajaan BN Perak yang baru cukup bermasalah.

DAP : SOSIALIS ?

Tindakan berani Ahli Parlimen Bukit Gelugor, merangkap pengerusi Parti Tindakan Dimokratik (DAP), Karpal Singh, dalam usahanya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Shah, Sultan Perak atas tindakan baginda memperkenankan perlantikan YAB Dato' Dr Zamri Kadir, (BN-Pangkor) sebagai Menteri Besar Perak yang baru menggantikan YAB Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin selepas BN berjaya menggulingkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak minggu lepas, pada pandangan saya, ia bersikap biadap terhadap Malaysia dan penduduk asal Tanah Melayu.

Ya, benar, jika diselidiki mengikut peruntukan perundangan Malaysia, ia dibolehkan, namun, dari segi etika, saya fikir, tindakan itu derhaka.

Karpal juga pernah menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan PAS mengenai penubuhan negara Islam jika PR dapat menguasai Malaysia. Ini kerana, penubuhan negara Islam bukan menifesto PR dan jika ia dilaksanakan juga, DAP akan bertindak keluar dari PR dan menjadi pembangkang. Karpal mesti ingat, jika PR tiada apa-apa kebaikan yang diperolehi untuk Islam, PAS akan keluar menjadi pembagkan hebat PR.

Karpal sekali lagi membuat desakan agar YB Dato' Seri Anuar Ibrahim meletakkan jawatan dan beliau tidak layak menjadi pemimpin Pakatan Rakyat. Ini kerana, DSAI pernah memujuk beberapa orang wakil rakyat dari UMNO-BN untuk melompat parti dan mengumunkan dengan yakin, tangga 16 september 2008 lepas, kerajaan BN Malaysia akan ditumbangkan dan kerajaan baru Pakatan Rakyat dengan membawa mesej "negara berkebajikan". Namun, ia gagal. Tetapi bahananya, dirasai sendiri kerajaan PR Perak apabilan beberapa pengkhianat PR Perak keluar parti dan menjadi ahli Bebas serta menyatakan sokongan terhadapan lanun UMNO-BN, maka, kerajaan PR Perak, "disamun" lanun berkenaan dan akhirnya, tumbang.

DSAI menyatakan, ia pandangan peribadi Karpal, bukan etika PR sendiri. Beliau menyatakan antara sebab mengapa Karpal bertindak demikan, beliau tidak bersetuju dengan tindakan peguam itu untuk menyaman DYMM Sultan Perak.

Berdasarkan situasi ini, saya yang asalnya berang dengan tindakan Karpal menjadi tidak pelik kerana Karpal ini sosialis dan DAP juga pada dasar awal penubuhannya juga, tidak mahu adanya Raja Melayu. Sosialis seperi Karpal dan juak-juaknya sebenarnya akan hangat tahi ayam semasa hayatnya sahaja, jika Tuhan empunya sekali alam dan makhluk, mengambil nyawa meraka, fahaman itu akan terkubur bersama jasan dan otak meraka.

Menyingkap secara ringkas secara DAP ini, Parti Tindakan Demokratik (DAP: Democratic Action Party) adalah parti serpihan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP: People's Action Party) di Singapura yang diasaskan pada Oktober 1965 sebelum didaftarkan secara rasmi enam bulan kemudian sebagai salah satu parti politik Malaysia, pada 18 Mac 1966. Parti Tindakan Demokratik (DAP) berfungsi sebagai sebuah parti demokratik sosial yang "berjanji akan berpegang kuat kepada ideologi satu negara Malaysia yang bebas, demokratik dan berfahaman sosialis, berdasarkan prinsip-prinsip keadilan kaum dan kesaksamaan sosial dan ekonomi yang berasaskan institusi demokrasi berparlimen." (Pengisytiharan Setapak, dibuat pada Kongres Kebangsaan DAP pertama di Setapak, Kuala Lumpur pada 29 Julai 1967).

DAP adalah anak atau serpihan kepada PAP di Singapura, selatan Persekutuan Tanah Melayu . Lee Kuan Yew yang tidak setuju dengan cubaan Perikatan-UMNO bertanding dalam pilihan raya di Singapura , telah membuka cawangan PAP di Semenanjung Malaysia. Apabila Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965, pendaftaran parti PAP telah dibatalkan pada 9 September 1965, tahun yang sama.

Sebagai sebuah parti sepihan dan mendokongi ideologi siosialis, sudah tentu Karpal dan juak-juaknya mempunyai pemikiran dan ideologi yang sama. Tidak dinafikan juga, DAP yang kini menjadi kerajaan di Pulau Pinang setakat ini, memberikan kesetiaan kepada Islam dan penganutnya. Mungkin hanya beberapa orang sahaja dalam DAP yang agak biadap. Namun, ia merupakan penilaian peribadi saya sahaja. Perlu diingat, ideologi sosialis tetap dasar DAP.

Begitu juga kontroversi Lim Kit Siang yang sering mempersoal hak-hak orang melayu dan peribumi di Malaysia. Antaranya, selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008, negeri Perak telah ditawan oleh ketiga-tiga buah parti pembangkang yang selepas itu menubuhkan Pakatan Rakyat. Antaranya Parti Tindakan Demokratik merupakan parti pemerintah negeri yang terbesar, namun mereka tidak mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri yang berbangsa Melayu. Menurut perlembagaan negeri Perak, hanya ADUN yang berbangsa Melayu layak menjadi Menteri Besar, melainkan Sultan Perak mengizinkan seseorang yang bukan Melayu, dan tidak semestinya beragama Islam, untuk menjadi Menteri Besar. Pada awalnya pihak pemerintah baru cuba memujuk Sultan Perak semasa itu, Sultan Azlan Shah, untuk melantik Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham, sebagai Menteri Besar. Namun pada akhirnya Sultan menolak dan melantik Setiausaha PAS Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai Menteri Besar. Ini kerana antara ADUN Melayu Parti Keadilan Rakyat yang merupakan parti pemerintah kedua terbesar, mereka semuanya hanya berkelayakan Tingkatan Lima Sekolah Menengah. Sultan mahukan seorang yang profesional untuk menjadi Menteri Besar, dan Mohammad Nizar yang merupakan seorang jurutera sivil menepati kemahuan ini. Memandangkan PAS merupakan parti pemerintah yang terkecil, pada awalnya Lim menyerukan agar memboikot upacara perlantikan Menteri Besar Perak, kerana beliau berpendapat bahawa jika tiada ADUN DAP dilantik, maka ADUN Parti Keadilan Rakyat yang harus dilantik kerana mereka merupakan parti pemerintah yang kedua terbesar. Namun selepas itu Lim meminta ampun daripada Sultan secara bertulis. Tetapi akhirnya upacara perlantikan Menteri Besar ditunda.

PKR : BERMASALAH ?

Parti KeADILan Rakyat (PKR, juga dikenali sebagai KeADILan) adalah salah sebuah parti pembangkang di Malaysia yang merupakan hasil gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Parti KeADILan Nasional merupakan sebuah parti politik Malaysia yang lahir daripada gelombang Reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar Ibrahim daripada UMNO pada 2 September 1998. Sekumpulan NGO dan parti pembangkang kemudian menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK). Pendokong reformasi kemudiannya menubuhkan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) untuk memberi platform kepada perjuangan mereka.

Selepas itu, usaha menubuhkan parti politik menghadapi jalan buntu disebabkan oleh Pendaftar Pertubuhan. Maka gerakan Reformasi mengambil keputusan untuk mengambil alih sebuah parti sedia ada iaitu Ikatan Masyarakat Islam Malaysia yang ditubuhkan pada 1990. Pelancaran Parti KeADILan Nasional diadakan pada 4 April 1999.

Sebagaimana posting saya sebelum ini, pendirian saya tetap menyatakan, saya kurang bersetuju dengan penubuhan PKR. Kerana, pada pandangan saya, perjuangannya masih belum tentu penamatnya. Ditubuhkan demi seseorang yang kini telahpun menjadi ahli parlimen. Namun, ia pandangan peribadi saya. Tiada kesan pun jika saya tolak PKR kerana ribuan penyokongnya di Malaysia.

Semenjak DSAI telah dibebaskan atas "ehsan" kerajaan BN era Pak Lah, banyak kekalutan dan konflik yang tercetus di dalam PKR. Ezam yang kuat menentang UMNO-BN dan bersumpah lawan tetap lawan, akhirnya "menjilat semula ludahan" beliau terhadap UMNO dengan tindakan beliau kembali kepangkuan parti nasionalisme itu. Tambah bermasalah apabila Allah, memberikan sedikit kemenangan dan peluang kepada PR Keadilan untuk memerintah di Perak, ADUNnya menjadi pengkhianat. Begitu juga desas-desus mengatakan ADUN PR Keadilan Kedah, V Arumugam untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN Bukit Selambau. Ini memberikan ruang pilihanraya kecil akan dilaksanakan. Adakah ini merupakan usaha lanun-lanun UMNO-BN untuk merompak Kedah pula? Walapun Arumugam menyatakan ikrarnya untuk setia dalam PKR, namun, saya masih ragui kerana, alasan beliau untuk meletakkan jawatan kedudukannya sebagai Exco kerana menerima tekanan termasuk ke atas anggota keluarganya supaya berpaling tadah kepada Barisan Nasional (BN). Sama-samalah kita lihat dan berdoa agar kerajaan Islam dan Pakatan di Kedah, tidak dapat ditumbangkan oleh lanun-lanun berkenaan sebagaimana yang terjadi di Perak.

Saya tidak mahu atau atas alasan lain, tidak berani membuat andaian yang melampau kerana, Jamaah Islam ( PAS ) masih berada di dalam Pakatan Rakyat. Jadi, selagi mana PR ini boleh memberikan ruang dan kebaikan kepada Islam, saya juga boleh memberikan walak dan sokongan saya kepada PR terutamanya Keadilan kerana ia diketuai oleh orang Islam.

Pada saya, DSAI perlu membuat satu tindakan drastik untuk memulihkan imej partinya. Beliau juga perlu sentiasa berhati-hati dengan setiap tindakan dan susun atur langkah strategi ahli-ahlinya terutamanya yang menjadi ahli parlimen atau ADUN. Bukan untuk mendabik dada dan berpihak kepada sebelah pihak sahaja, tetapi, tumbangnya kerajaan PR Perak kerana tindakan dua ADUN daripada PKR dan seorang daripada DAP. ADUN Bota, tidak perlu diulas. Sememangnya, jika lanun, ia tetap lanun.

DSAI juga perlu menjaga tindak tanduk peribadi beliau kerana, beliau kini kepercayaan rakyat yang mahukan perubahan dan kerajaan yang adil serta telus. Semangat serta keyakinan beliau ketika mengumumkan 16 September lepas, kerajaan PR akan mengambil alih Malaysia tidak menjadi kenyataan. Caranya, berbincang dengan wakil rakyat BN untuk lompat parti. Sekarang, BN pulak yang "berbincang" dengan ADUN PR untuk lompat parti dan, tumbanglah kerajaan PR Perak. DSAI perlu bermuhasabah, benar kita mahukan kerajaan telus dan berkebajikan, benar juga penyokong PR mahukan PR mengambil alih Malaysia, namun, dengan demokrasi, bukan "pintu belakang".

Mungkin ada hujah juga bagi kenyataan saya di atas mengenai mahukan kerajaan melalui demokrasi bahawa, demokrasi sendiri dieksploitasi oleh UMNO-BN, bagaimana mahukan jalan demokrasi? Bagi saya, perlu strategi dan telus dan berlandaskan syarak. PAS telah ditubuhkan lebih 50 tahun, baru dapat merasa menjadi kerajaan di Kelantan pada tahun 1990 hingga kini. Baru penggal ini dapat menjadi kerajaan di Kedah dan pernah menjadi kerajaan selama sepenggal di Terengganu. PKR baru berusia lebih kurang sepuluh tahun. Kesabaran disamping munajat serta strategi mantap perlu diseiringkan.

PAS : WADAH DAN WASILAH KETELUSAN POLITIK ISLAM

Parti Islam Semalaysia ( PAS ) adalah sebuah parti pergerakan Islam di Malaysia yang dipimpin oleh Presiden parti, Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi bin Awang. PAS cuba mengimbangi perjuangan nasionalisme UMNO sebagai sebuah parti yang mendokong Islam. Dengan tidak menafikan bahawa semangat perjuangan yang berteraskan kepada Islam di negara ini telahpun wujud semenjak tahun 1906 lagi, yang telah dibawa dan diperjuangkan oleh golongan pembaharuan atau reformasi Islam yang mendapat pendidikan di Timur Tengah (antaranya termasuklah Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin dan Haji Abbas Mohd. Taha) yang berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang, PAS yang muncul pada tahun 1951 adalah atas kesedaran masyarakat Melayu (pada waktu itu) untuk melihat Islam dapat ditegak dan didaulatkan di negara ini.

Mengikut satu fakta sejarah, PAS telah ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 23 Ogos 1951. Bagaimanapun, ada fakta lain yang menyebut bahawa PAS ditubuhkan pada 24 November 1951 (Warta Negara, 26 November 1951 dan Utusan Melayu 25 November 1951).

Walaupun di sini terdapat dua tarikh yang berbeza, namun bagi ahli-ahli sejarah dan tokoh-tokoh lama dalam PAS, fakta kedua (24 November 1951) adalah tarikh kepastian PAS ditubuhkan.

Parti Islam Se-Malaysia kemudiannya telah didaftarkan sebagai sebuah organisasi pada 31 Mei 1955 dengan Nombor Pendaftaran. 733 (Pulau Pinang).

Saya pernah berbual dengan beberapa vateren PAS ditempat saya yang kini, ramai dikalangan meraka, telahpun meninggal dunia. Meraka memceritakan tentang era 50an dan 60an, ketika itu, orang melayu dan bangsa lain yang mendiami Tanah Melayu / Malaysia hanya memberikan sokongan padu kepada kerajaan Parti Perikatan dan pada mereka, pembawa keharmonian dan kemerdekaan. Oleh itu, meraka dengan hanya beberapa orang penyokong perlu berusaha keras dengan menggunakan modal sendiri untuk berceramah dikawasan pendalaman yang hanya dihadiri oleh tiga hingga empat orang sahaja.

Kini, PAS telah menerima lebih sejuta keahlian dan Kelab Penyokong PAS juga telah menerima penyertaan sekitar sepuluh ribu keahlian.

Ini merupakan satu kejutan besar dan PAS perlu mengkaji setiap langkah dan strategi. Islam yang dulu dimomokkan dengan kemunduran dan tamadun yang ketinggalan zaman, menjadi perhatian penduduk Malaysia daripada kalangan bukan Islam. Ini merupakan usaha dakwah harmoni dan ia mendatangkan besar implikasi kepada penduduk Malaysia. Ini membuktikan, orang yang bukan beragama Islam sendiri mengakui hanya Islam sahaja sumber kedamaian dan ketelusan dalam setiap aspek sama ada perundangan, kerajaan serta semuannya.

Fahaman nasionalis dan sosialis yang menjadi pegangan rakyat bukan beragama Islam di Malaysia dan sebahagian penganut Islam di Malaysia tidak lagi menjadi kepercayaan kuat mereka. Fahaman yang direka melalui akal manusia yang sememangnya manusia itu sendiri bersifat lemah semakin lama semakin nampak ketidak stabilannya. Maka, undang-undang dan dasar daripada "jutera" yang mecipta manusia dan empunya sekalian alam serta seluruh isinya jugala sebaik-baik landasan rujukan dan ikutan.

Oleh itu, banyak lagi pendekatan yang perlu dikaji keberkesanannya dan kesan bagi jangka masa panjang dan pendek sesuatu tindakan perlu dinilai dan diambil kira bagi memastikan mileage politik Islam di Malaysia semakin utuh dan menerima sokongan ramai. Ini wadah dan wasilah politik Islam yang perlu dipelihara dan dijaga.

Saya bukan ahli politik, saya juga bukan pelajar jurusan politik dan undang-undang sivil. Saya juga bukan daripada keluarga orang politik. Tetapi, saya orang Islam, warganegara Malaysia yang sayangkan Malaysia sebagai satu-satunya negara saya. Namun, nasionalisme tidak sepatutnya dijadikan teras untuk berpolitik kerana, di sana, Islam ada dasar dan metodologi politik yang lebih sempurna.

Mungkin ramai akan marah dan menguluarkan kata-kata kesat kepada saya jika membaca artikel ini. Perlu diingat, ini pandangan peribadi saya dan jika bukan saya atau mana-mana warganegara Malaysia tidak mengambil berat dan menegur kepimpinan Malaysia, kita harapkan siapa lagi? Warganegara luar? Atau adakah kita perlu berpeluk tubuh dan tidak mengambil peduli akan Malaysia asalkan kita boleh hidup aman, boleh mewah dan bebas? Tepuklah dada, tanyalah Iman.

Akhirnya, manusia berbeza dengan haiwan. Haiwan boleh berfikir tetapi melalui fitrah yang Allah tetapkan padanya. Manusia sungguh istimewa, diberikan akal untuk berfikir, hati untuk mengimbang pemikiran, dan nafsu untuk menetukan baik buruk tindakan. Istimewanya lagi kita orang Islam, diberikan Iman dan landangan syarak agar setiap tindak tanduk kita tidak mengundang bencana dan kemurkaan Allah. Namun, inilah yang selalu manusia ingkari maka terjadilah huru hara dan manusia dilihat lebih dahsyat daripada haiwan.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Thursday, February 05, 2009

PENGKHIANAT BANGSA

بسم الله الــرحمن الرحيم
الحمد لله وكفى والصلاة والسلام على رسول الذي المصطفى وعلى آله وأصحابه ومن اهتدى وأما بعد

pengkhianat bangsa dan negara
Alhamdhulillah, syukur saya panjatkan kehadrat Rabbul Jalil diatas kurniaan nikmat Iman dan Islam serta pelbagai nikmat kepada saya dan seluruh hambaNya untuk terus hidup dan berbakti.

Terkilan berbaur kecewa apabila mengetahui akan senario politik yang berlaku di Perak. Bermula daripada "kehilangan" dua orang ADUN Pakatan Rakyat daripada PKR sehinggalah kepada kes lompat parti tiga ADUN PR di Perak yang menyebabkan kerajaan pilihan rakyat menjadi goyah dan digulingkan oleh parti pengkhianat UMNO dan BN.

LEWAT MEMAHAMI

Pada pandangan saya, kerajaan PR Perak yang diketuai oleh YAB Dato' Seri Ir Nizar mungkin terlewat memahami rentak kotor UMNO dan BN dalam usaha mereka merampas kuasa di Perak. ADUN Bota bertindak keluar daripada UMNO dan menyertai PKR di Perak. Ini satu pemainan yang licik.

UMNO dan BN negeri Perak yang diketuai oleh bekas menteri besarnya, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali meletakkan jawatannya dan digantikan oleh TPM sendiri YAB Dato' Seri Najib telah membawa satu corak permainan khianat yang dahsyat dalam konteks "peradaban melayu" yang dibanggakan. PR Perak merasa amat selesa dengan hal ini. Mungkin dengan keselesaan di zon selesa ini, membawa kepada kejatukan kerajaan PR sendiri.

MUNAFIQ, PENGKHIANAT

Hati saya lebih cenderung untuk melabelkan ADUN Bota, ADUN Behrang dan Changkat sebagai munafiq dan pengkhianat kepada rakyat. ADUN Bota sebagai alat untuk "melekakan" PR mengenai permainan kotor UMNO dan BN manakala ADUN Behrang dan Changkat menjadi pengkhianat dan menyerlahkan kemunafiqan mereka.

Kemanakah hilangnya sifat amanah meraka terhadap hak rakyat yang mengundi mereka. Kepercayaan rakyat yang diberikan kepada mereka untuk mentadbir kerajaan negeri dengan amanah untuk merealisasikan negara berkebajikan dikesampingkan demi kepentingan peribadi dan "periuk nasi" sendiri. Kerana RM 50 juta, semuanya tidak mengapa, semuanya "boleh diuruskan". Saya akui, nilai RM 50 juta sememangnya nilai yang amat besar. Namun, adakah RM 50 juta itu boleh digunakan oleh menyediakan kelengkapan untuk menangkis azab Allah diakhirat kelak akibat pengkhianatan ini? Adakan dengan RM 50 juta itu juga boleh menyediakan "peguam" terbaik di sisi Allah bagi menjawab segala soalan Allah kelak akibat pengkhianatan ini? Tepuklah dada, tanyalah iman.

TARBIAH, PAS DAN PKR

Inilah yang pernah saya nyatakan pada posting saya yang lepas mengenai tindakan Ezam kembali kepangkuan UMNO, iaitu, kurang atau tiadanya tarbiah terhadap pemimpin Islam yang memerintah kini.

Secara peribadi saya boleh bandingkan, Kerajaan PAS Kelantan yang sudah pun memasuki penggal ke 4 memerintah Kelantan, Alhamdulillah, sehingga kini tidak pernah terjadi pun kejadikan seumpama PKR di Perak. Kerana apa, pertarbiahan berperingkat dan mendalam telah diberikan kepada setiap lapisan pimpinan di dalam PAS.

Berbeza dengan PKR dan parti lainnya. Asas kerohanian bukan elemen utama meraka. Inilah antara punca kerosanan dan fitnah yang berlaku kini.

Saya pernah menyatakan pendirian saya mengenai penubuhan PKR di Malaysia. Saya sebenarnya tidak bersetuju akan penubuhan PKR. Kerana, penubuhannya hanya untuk membela Dato' Seri Anuar Ibrahim yang ketika itu dipenjarakan. Kini, DSAI telah pun dibebaskan dan telah pun menjadi ahli parlimen Permatang Pauh. PAS daripada awal penubuhannya sehingga kini, menegakkan kalimah Allah sebagai tujuan utama perjuangan parti.

Walaupun berbilang-bilang jamaah Islam dibolehkan dan masih ada pelbagai pendapat mengenainya, namun, ketaatan saya hanya kepada parti atau jamaah yang benar-benar berkonsepkan Al-Quran dan Sunnah. Sungguhpun begitu, selagi dengan kewujudan PKR dan PR boleh membawa manfaat kepada jamaah Islam, selagi itulah, insyaallah, saya boleh memberikan ketaatan dan sokongan kepada meraka. Jika meraka berpaling tadah, merakalah pengkhianat dan sayalah antara penentang utama.

Saya berpegang kepada kata-kata pimpinan tertinggi PAS mengenai PAS bergabung dalam pakatan rakyat bahawa, selagimana pakatan rakyat bersetuju dengan penubuhan negara Islam dan landas-landas Islam, selagi itulah PAS akan memberikan kerjasama tetapi jika berpaling tadah, PAS akan keluar dari PR dan menjadi pembangkan utama.

Bersamalah kita berdoa agar Allah memberikan tunjuk ajar kepada pengkhianat-pengkhianat ini. Kepada Najib serta seluruh penyokong UMNA dan BN, berbahagialah serta bersuka rialah kamu dengan pengkhinatan demi pengkhianatan yang kamu lakukan. Kami sesekali tidak akan redha dan hanya kepada Allah sahajalah kami memohon agar memusnahkan kamu.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN