Saturday, February 14, 2009

QANA'AH : PENDISIPLIN JIWA

بسم الله الرحـــمن الرحيم
الحمد لله وكفى والصلاة والسلام على رسول الذي المصطفى وعلى آله ومن اهدى وأما بعد

Kehidupan kita sebagai manusia meliputi kesenangan, kegembiraan, penderitaan jua keperitan. Roda kehidupan kita yang sentiasa berputar meliputi perasaan suka, duka, gembira dan sebagainya. Adakalanya, kehidupan kita gembira, maka lahirlah perasaan suka dan bahagia, dan adakalanya berlaku sebaliknya.

Sebagai seorang muslim wajib mengimani bahawanya tuhan itu hanya Allah dan mengimani akan qada’ dan qadarNya yang telah ditetapkan sepanjang kehidupan kita, bermula dari umur satu hari hinggalah akhir hayat kelak. Setiap apa yang berlaku kepada kita, ajal maut, jodoh pertemuan, rezeki dan sebagainya semuanya telah ditetapkan oleh Allah swt.

Firman Allah swt ;


Tiada satu bencana pun yang menimpa di Bumi dan tidak pula atas dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (luh mahfuz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu, sungguh mudah bagi Allah.
(surah Al-Hadid:22)


Namun manusia kini, terlalu ramai yang melupai akan hakikat kehidupan dan tujuan mereka diciptakan. Jika ditimpa sedikit kesusahan, akan mudah berkeluh kesah dan kadangkala berputus asa. Seringkali kita jika diuji oleh Allah dengan satu ujian, kita lupa dengan selautan nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita. Nikmat kehidupan, iman dan Islam, kesihatan dan kecergasan, semuanya kita kecapi dari saat dilahirkan lagi.

Benar, kita sebagai manusia sesekali tidak akan puas akan nikmat kehidupan yang diberikan. Segala macam bentuk kemewahan kebendaan dalam kehidupan akan dikejari tanpa rasa puas mahupun cukup. Namun, sebagai seorang muslim, kita mesti menyemai sifat Qana’ah dalam diri agar dapat mendisiplinkan diri menjadi hamba Allah yang mensyukuri segala nikmat.

Qana’ah adalah rasa cukup dan menerima apa yang ada. Setiap sesuatu telahpun Allah tetapkan bahagiannya masing-masing. Menerima seadanya disamping mensyukuri segala nikmat yang dikecapi.

Sifat Qana’ah juga mendidik kita rela menerima apa yang ada dan mensyukurinya. Rajin berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya disamping tidak mengenepikan doa, rawakkal dan syukur kepada Allah. Qana’ah akan menghakis sifat tamak haloba dengan keuntungan duniawi dan hasad dengsi sesama manusia. Bahkan, dengan qana’ah, seseorang muslim itu akan sentiasa rasa puas dan merasakan apa yang diterimanya itu, sudah cukup dan memadai.

Rasulullah saw bersabda : Bukanlah kekayaan itu lantaran banyak harta,, kekayaan ialah kekayaan jiwa.

Rasulullah saw bersabda lagi : Qanaah itu adalah harta yang tak akan hilang dan pura (simpanan) yang tidak akan lenyap
(HR. Thabarai dari Jabir).

Adakah salah kita mengumpul harta sebanyak-banyaknya? Tidak. Kumpullah segala bentuk kesenangan dan kemewahan dunia agar kita beroleh kemudahan. Tetapi, disiplinkanlah hati dengan merasa syukur kepada Allah dengan kemewahan yang diperolehi. Setiap rezeki yang Allah berikan kepada kita, ada bahagian tertentu yang telah Allah tetapkan agar kita alirkan ia kepada yang berhak menerimanya seperti zakat dan sedekah.

Sejarah telah membuktikan kepada kita, bahawa Islam sesekali tidak melarang menganutnya untuk mengumpul harta dan kaya raya. Saidina Osman Bin Affan, seorang saudagar dan hartawan cukup terkenal ketika itu, lihat pula Nabi Yusuf, menteri kewangan Mesir ketika itu, dan siapa pula dapat menafikan kekayaan Nabi Sulaiman as dengan kekuasaan pemerintahan baginda sebagai seorang raja. Namun semuanya itu, bukan sebagai sumber fitnah dunia kepada mereka kerana, teras iman melahirkan sifat qana'ah dan kejujurkan akan terbit dalam menguruskan harta dunia untuk keredhaan Allah.

Jelaslah kepada kita, dalam urusan kita memakmurkan dunia ini, banyak perkara yang akan menyelubungi kita. Harta kebendaan dunia tidak akan sesekali puas untuk kita cari dan kita kejari. Perebutan demi perebutan akan akan berlaku demi ingin mengecapi kemewahan dunia yang tiada nilai apa-apa di sisi Allah. Bersyukurlah kita kepada Allah di atas segala kurniaan. Semaikanlah sifat qana’ah di dalam jiwa agar kita tidak tergolong dari golongan manusia yang tertipu dengan kesenangan dunia dan menyesal di akhirat kelak.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين

0 fikrah:

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN