Tuesday, May 19, 2009

BERSYUKURLAH

بسم الله الرحــــمن الرحيم
الحــــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشــرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجــمعين

Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Esok, 20 Mei 2009, kertas yang kedua untuk peperiksaan semester ini. iaitu Feqh Muqarran. Berbaki dua lagi. Kertas pertama, subjek Al-Quran ( penulisan ) boleh membuatkan saya sedikit tersenyum dan insyaallah saya sentiasa berdoa agar senyuman saya itu membawa erti inilah subjek Al-Quran saya yang terakhir untuk tahun pertama. Ternyata, subjek-subjek yang mendatang seperti esok hakikatnya, mudah tetapi memerlukan ingatan yang tajam dan kefahaman yang baik untuk menjawabnya. Semoga Allah meletakkan kemudahan kepada saya dalam setiap tulisan dan keadaan.

Alhamdulillah, pada tahun ini, saya masih berpeluang merasi keselesaan dalam kepanasan kerana dewan peperiksaan saya di garaj khas yang dibina di sebelah belakang bangunan fakulti Usuluddin. Walau secara keterlaluan, boleh saya umpamakan seperti duduk di dalam ketuhar dan nyata, peluh sentiasa keluar menitik membasahi baju juga kadangkala menitik di kertas jawapan.

Ternyata konsentrasi dan keselesaan untuk menumpukan segala perhatian kepada jawapan bagi setiap soalan sedikit terganggu kerana susana yang agak tidak selesa. Ditambah lagi dengan perasaan marah cepat terzahir apabila berserabut di dalam bas yang cukup sesak untuk ke dewan peperiksaan, namun, itulah tempat saya. Apalah salahnya hanya untuk empat kertas dan hanya untuk dua jam bagi setiap kertas untuk saya berkorban sekelumit daripada melangit tinggi keselesaan yang Allah berikan sepanjang hidup saya.

Saya tetap bersyukur walaupun menjawab dalam keadaan yang agak panas, Allah masih lagi memberikan peluang kapada saya untuk menduduki peperiksaan di Universiti Al-Azhar dan masih lagi tenang dalam menulis jawapan.

Kadang kala selepas melalui sedikit ujian kesusahan yang Allah beri, saya terkadang-kadang tersenyum sendirian kerana, hati ini acap kali merungut ketika musim sejuk dahulu, "bilakah agaknya mahu panas ...?" atas alasan, untuk mandi agak sukar kerana kesejukan walapun pemanas air berfungsi baik. Barulah sedar, bersyukurlah kepada Allah dalam apa jua keadaan sekalipun yang diberi, ia membawa seribu satu rahmat dan kesenangan jika kita sentiasa bersyukur atas anugerahNya.

Sesuatu nikmat jika kita tidak bersyukur malahan sentiasa kufur ia akan bertukar menjadi bala yang akan memfitnah kita kelak. Manakala sesuatu musibah jika kita hadapinya dengan hati yang tenang dan sentiasa mengingati Allah dan meminta pertolongan kepada Allah, maka ia akan menjadi sebab meninggikan darjat kita di sisi Allah swt. Maka, bersyukurlah.

وصلى الله على ســيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وســـلم

0 fikrah:

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN