Friday, May 23, 2008

ANTARA KELEBIHAN MENDALAMI ILMU AGAMA

بسم الله الرحمن الرحــــيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنباء والمرسـلين وعلى آله وأصحابه أجــمعين

Allah swt berfirman di dalam Al-Quran, surah Al-Mujadalah ayat 11, yang bermaksud...

...Allah mengangkatkan darjat orang-orang yang beriman dikalangan kamu, dan orang-orang yang diberi pengetahuan agama (dikalangan kamu) beberapa darjat...

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud...

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata : telah bersabda Rasulullah saw : Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan padanya, maka sudah tentu Allah menjadikannya seorang yang mengerti dengan hal-hal agama.

Keperibadian seseorang muslim dari konteks akhlak mahupun syahsiah diri ditentukan dengan betapa berdisiplinnya dirinya dalam memahami serta mendalami ilmu-ilmu Allah khasnya ilmu Agama Islam. Ilmu terbahagi kepada dua iaitu ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Ilmu Fardhu Ain adalah ilmu yang merangkumi konsep mentauhidkan Allah, ibadah, akhlak, muamalat dan sebagainya. Manakala ilmu Fardhu Kifayah adalah ilmu cabang yang diperlukan untuk maju dalam hidup seperti sains, matematik dan sebagainya. Hakikatnya, semua ilmu ini datangnya dari Tuhan yang Esa.

Namun, akhir-akhir ini, telah berlaku satu budaya yang pelik dan amat menyedihkan. Budaya mengagung-agungkan budaya barat yang jelas jauh terpesong dari landasan syarak dan jelas menyesatkan. Ilmu-ilmu jua teknologi kebanggaan manusia ini asalnya dikaji oleh para ulamak ilmuan Islam seperti Al-Khawarizmi, Ibnu Sina, Ibnu Baitutah, Ibnu Khaldun dan ramai lagi tokoh cendiakawan ilmuan Islam agung lain. Namun, berdasarkan sejarah yang panjang, bagaimana ilmu ini dirampas oleh kuasa-kuasa besar satu ketika dahulu dan dibawa masuk segala ilmu ini kenegara masing-masing untuk mereka praktikkan. Hasilnya, segala kemajuan, kemewahan serta teknologi yang kita nikmati kini, perintisnya adalah tokoh-tokoh ilmuan Islam yang disebutkan tadi.

Dengan kebanggaan inilah, timbul satu fahaman lain iaitu orang yang belajar serta mendalami ilmu agama Islam ini adalah golongan yang hanya layak digelar Pak Imam, Pak Bilal, Ustaz mahu pun ustazah dan mereka yang mempunyai ijazah dalam bidang agama ini hanyalah layak menjadi guru-guru di sekolah-sekolah tertentu. Inilah dia antara bentuk krisis pemikiran yang berjaya diterapkan oleh pejuang-pejuang nasionalisme dan pihak-pihak barat yang jelas memusuhi agama Allah ini.

Dimanakah letaknya nilai agama disis mereka? Dimanakah juga letaknya maruah seorang yang mengakui Allah itu sebagai Tuhan, nabi Muhammad itu sebagai Rasul?

Kini kita melihat, terutamanya para Azhariyun dan Azhariat sendiri. Bagaimana mereka sudah "set" minda mereka bahawa mereka ke Al-Azhar semata-mata kerana segulung Ijazah dan pulang ke Malaysia dengan membawa segulung ijazah tadi bagi menaruh harapan jua nasib dalam pasaran kerja di Malaysia.

Secara peribadi, pemikiran seperti ini, sebenarnya bukan di"set" secara sukarela tetapi betapa ramainya orang-orang di Malaysia sendiri yang "tolong set-up" minda para Azhari dan Azhariat kini. Baru-baru ini, apabila pihak Al-Azhar sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah membatalkan Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama kerajaan Malaysia untuk membenarkan pelajar menyambung pelajaran di Al-Azhar melalui sistem Muadalah.

Hal ini diamati dan jelas bahawa, ia adalah kehendak kerajaan Malaysia sendiri dengan alasan, pelajar jurusan Agama ini kurang dikehendaki dalam pasaran kerja di Malaysia selepas pelajar ICT. Persoalannya, adakah belajar ilmu Islam ini semata-mata untuk merebut kerja dan tangga gaji?

ORANG ALIM ITU PILIHAN ALLAH

Pada muqaddimah tulisan saya ini, saya ade menyatakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang menyatakan bahawa

Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan padanya, maka sudah tentu Allah menjadikannya seorang yang mengerti dengan hal-hal agama.

Orang-orang yang alim ini pilihan Allah dan sudah pasti kehidupan mereka lebih terjamin daripada dosa. Mengapa? Kerana, orang yang berilmu dan mengenali Allah faham akan hakikat sebenar Taqwa memahami sebenarnya kehendak Allah.

Hidupnya sentiasa mengharap akan redha Allah dan segala tingkah lakunya semata-mata kerana Allah dan sentiasa dikawal. Kehendak Iman dan Taqwa sentiasa dipenuhi dan sudah tentulah mereka mulia disisi Allah.

Hal ini sememangnya diakui akan kebenarannya. Kita lihat kehidup para alim ulama dan auliyak Allah. Bagaimana peribadi mereka yang cukup terjaga dan disiplin yang terlalu tinggi dan kewibawaan mereka tidak boleh dipertikaikan lagi.

Kehidupan orang alim adalah berkat. Keberkatan datang dari amalannya melalui ilmu yang dipelajarinya. Hal ini jelas melalui hadis Rasulullah saw yang bermaksud ...

Daripada Ali bin Abi Talib berkata : Telah bersabda Rasulullah saw : Orang yang paling baik itu ialah orang alim. Jika dia diperlukan maka dia akan memberi manfaat bagi orang lain. Dan jika dia tidak diperlukan, maka dia mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang lain).

Sungguh berkat orang yang alim itu kerana dia sentiasa memberikan kebaikan kepada orang lain. Dia dapat menunjukkan kepada manusia jalan yang diredhai Allah dan tidak akan membebani orang lain. Sebaliknya, orang yang jahil itu sentiasa membuat kerosakan di muka bumi Allah dan mendatangkan kesusahan kepada semua.

SIFAT RENDAH DIRI DAN WIBAWA HANYA PADA ORANG BERILMU

Sifat rendah diri dan penuh wibawa hanya pada orang alim dan berilmu. Hal ini jelas melalui hadis nabi saw yang bermaksud

Daripada Abu Hurairah berkata : Rasulullahn saw bersabda : Tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sungguh dan tuntutlah bersama ilmu itu akan ketenteraman dan kewibawaan. Dan hendaklah kamu bersifat tawadhuk bagi guru yang kamu belajar daripadanya.

Orang yang berilmu itu bukan hanya menyimpan segudang ilmu di dadanya bahkan dari aspek lahiriah dapat diketahui bahawa dia adalah seorang yang alim. Keilmuannya dapat dilihat dari segi pakaiannya, akhlak serta tutur bicaranya, pergaulannya dan lain-lain lagi.

Ketenteraman diri dan kewibawaan peribadi serta akhlak yang luhur merupakan ciri-ciri utama yang perlu ada dalam diri seseorang alim itu. Dengan ini, ilmu yang ada dalam dirinya membuahkan sifat khusyuk, tawadhuk dan wibawa.

ORANG YANG MENDALAMI ILMU AGAMA ADALAH SEBAGAI "PENAWAR" KEPADA UMMAH

Allah swt berfirman dalam Al-Quran dalam surah At-Taubah ayat 122 yang bermaksud...

Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya kemedan perang. Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja daripada tiap-tiap puak diantara mereka supaya orang-orang (yang tinggal itu) mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut dalam Agama dan agar dapat mereka mengajar kaumnya (setelah mereka kembali kepadany) mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga. (dari kesalahan).

Jelas bahawa Allah memerintahkan agar ada kelompok yang mempelajari Ilmu Allah secara mendalam dan dia akan memberi peringatan kepada kaumnya. Inilah yang dikatakan penawar kepada penyakit Ummah.

Apabila sesebuah negara mengamalkan hukum Allah dan memelihara daripada dosa dan maksiat, nescaya akan Allah bukakan keberkatan dari langit dan bumi.

Firman Allah yang bermaksud...

Sekiranya penduduk negeri (manusia) beriman dan bertaqwa nescaya kami buka pintu keberkatan dari langit dan bumi (dengan keberkatan ini manusia hidup bahagia)

Bersamalah kita mepertahankan hak pelajar-pelajar agama Allah dari dirampas oleh orang yang memusihi Islam. Ingatlah hanya dengan ilmu sahaja, hidup kita akan tenang dan bahagia.


0 fikrah:

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN