Thursday, January 22, 2009

Serban : Undang-Undang Dan Sunnah

بسم االله الرحـــمن الرحيم
الحـــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى أله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Alhamdulillah, rafak sembah syukur saya kepada Rabbul Jalil kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta pelbagai nikmat yang tidak ternilai kepada saya dan semua isi alam.

Terharu rasanya apabila masih ada anak Malaysia yang tegas dalam mempertahankan pendiriannya secara langsung, mempertahankan sunnah pemakaian serban. Saudara Ahmad Nasir Darus yang menuntut di Pondok Pasir Tumbuh rela bermalam di dalam penjara selama dua hari kerana mempertahankan prinsipnya.

Hal ini mengingatkan saya mengenai pelajar sekolah yang dibuang sekolah kerana memakai serban sewaktu sesi pembelajaran di sekolah, sehingga ia dibawa ke mahkamah. Ini juga satu perkara yang berkaitan dengan mempertahankan prinsip.

Bukanlah mahu membela mana-mana pihak tetapi secara jujur, terasa kagum juga di atas tindakan beliau. Cuma, ada dua perkara yang saya tidak pasti, sama ada beliau mempertahankan sunnah, atau sememangnya beliau tidak bersalah kerana, mungkin ada undang-undang jalanraya yang mengatakan, jika sudah beserban, tidak perlu lagi memakai topi keledar.

Serban merupakan sunnah Rasulullah. Sungguhpun ada yang mengatakan, ia merupakan sunnah jibiliyyah bukan tasyri'yyah. Namun, jika kita merujuk kitab Syamail Muhammadiah karangan Imam Tirmizi dalam menghimpunkan hadis-hadis mengenai peribadi mula Rasulullah, kita boleh melihat di sana, terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa Rasulullah pernah mengenakan lilit kepala (serban). Antaranya, Amr Bin Haris r.a meriwayatkan;

رأيت على رأس رسول الله صلى الله عليه وسلم عمامة سوداء
Saya melihat s.a.w mengenakan serban hitam di atas kepala baginda

Di dalam hal ini, saya mempunyai pendangan saya sendiri. Dan ia tidak bermakna saya tidak konsisten atau langsung tidak mempertahankan sunnah.

Kita mesti faham akan keutamaan yang perlu diutamakan dalam setiap keadaan. Kita di Malaysia mahupun di mana jua, disana adanya undang-undang yang ditetapkan. Apa salahnya atau di mana silapnya, jika tanggalkan sebentar serban tersebut ketika menunggang motor. Keutamaannya (aulawiyat) ialah, memakai kopi keledar adalah undang-undang yang telah ditetapkan. Kita umat Islam dan kita ada perinsip disiplin dan wala' kepada undang-undang.

Kita juga memahami dan mengetahui bahawa, adanya undang-undang yang qad'ie dan undang-undang wadh'ie. Mungkin, ada sahaja hujjah lain seperti, hukum Allah lagi dilanggar, inikan pula hukum yang manusia sendiri buat. Namun ia bukan hujjah orang yang cerdik.

Pada saya, kita tidak perlu terlalu "keras" dalam soal ini. Tidak perlu membesar-besarkan perkara kecil. Terlalu banyak perkara yang lebih utama dipertahankan. Kita perlu lebih pandai mengenali antara perkara usul dan furu' juga mengetahui awlawiyat yang perlu didahulukan. Ini mencerminkan betapa umat Islam ini bijak dalam konteks mempertahankan mengikut keperluan. Soal prinsip, tiada salahnya jika dipertahankan cuma mesti bijak menilai keutamaan mengikut keadaan.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجـــمعين

0 fikrah:

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN