Wednesday, October 07, 2009

USTAZ FAIZAL SABHUN : SAYA HORMATINYA

بسم الله الــرحمن الرحــيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Al-hamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam dan nikmat kesihatan tubuh badan untuk terus hidup dan berbakti.

Saya mengenali Ustaz Faizal Bin Sabhun semenjak tahun pertama saya di bumi Mesir lagi. Saya kenali beliau dan secara jujur, saya mengagumi beliau dari aspek akademiknya. Antara pelajar Malaysia yang cemerlang sepanjang empat tahun berturut-turut dalam fakulti Syariah. Saya juga kagum beliau ramah bergaul dengan bangsa-bangsa lain kerana tinggal di asrama Madinatul Bu’uth Islamiah.

Sungguhpun di sebalik kagum saya terhadap beliau, pelbagai cerita mengenai diri beliau yang saya dengar, namun bagi saya, biarlah orang sezamannya sahaja yang mengetahui dan menyimpan kisah-kisah tersebut. Tidak perlulah saya turut menjadi “pewaris” ceritanya. Saya agak baik dengan beliau, kalau bertemu, berbual ramah dan beliau sememangnya ramah orangnya.

Namun, perasaan kagum juga hormat saya kepada Ustaz Faizal mula sedikit tergugat apabila beliau agrasif dengan pandangan dan pendapatnya yang saya lihat mentah. Ironinya pula, jika bertemu empat mata, lain ceritanya, tetapi apabila bercoretan dalam blog peribadinya, lain juga gayanya.

Saya agak pelik dan saya mula berfikir. Dalam keadaan mahasiswa/siswi lain yang mengenalinya “menghentam” beliau, saya tidak terus melulu, tetapi berfikir, bahawa, beliau bukan sebarangan orang. Ustaz Faizal pelajar cemerlang. Ustaz Faizal luas pengetahuannya. Ustaz Faizal pelajar MA di Universiti Kaherah. Tetapi kenapa Ustaz Faizal begini?.

Tidak perlu saya ceritakan apa yang saya jelik dengan beliau sepanjang pengenalan saya bersamanya. Cuma mahu menyatakan betapa saya marah dan benci akan kenyataannya dalam artikel “ Culik, Diculik dan Menculik … Betulke Budak-Budak PMRAM Oiiii..”. Bagaimana dendam dan bencinya Ustaz Faizal terhadap PMRAM, usahlah dinyatakan lagi. Ibarat kata pepatah, terang lagi bersuluh. Malah banyak artikelnya yang sentiasa menghentam PMRAM dan menuduh PMRAM agen PAS.

Saya tidak pasti bagaimana Ustaz Faizal berfikir. Saya juga tidak pasti pula adakah beliau mengalami stress yang keterlaluan atau kurangnya kasih sayang yang menyebabkan beliau menjadi begini. Namun, semoga rahmat dan kasih saying Allah sentiasa menaungi beliau dan kita semua.

Berbalik kepada cerita artikelnya. Saya tidak boleh mengulas panjang mengenai semua isi artikelnya yang bertajuk “ Culik, Menculik dan Menculik … Betulke Budak-Budak PMRAM Oiiii..” kerana saya tiada di Mesir semasa hal ini terjadi. Hanya mengikuti perkembangannya melalui beberapa blog tertentu.

Menarik minat saya ialah pada perenggan yang berbunyi ;
Maka,harta KERAJAAN JOHOR di Mesir adalah dibawah penyeliaan pegawai berkenaan dan bukan MAMAK YDP!!! oppppsssss lupa, mungkin budak baru baligh, kot tak reti ISTILAH "HARTA KERAJAAN atau BUKAN HARTA BAPAK KO YANG PUNYA". Kalau ikut kes JOHOR nih, "orang tuh" tak usah penat-penatkan tangan menekan KEYBOARD taip yang bukan-bukan, ISMA sudah "BERI SALAM" masuk rumah melalui pegawai. Cukup sopan saya kira!!!
Saya tidak pasti sejauh mana iklasnya Ustaz Faizal dalam menulis. Semoga Allah sentiasa mendidik diri kita supaya ikhlas. Rumah Johor sepanjang tiadanya pegawai, diselia oleh BKPJM itu sendiri. Mengapa kedatangan Pengawai HEP Johor itu menafikan semuanya.

Ustaz Hanif adalah Pegawai HEP dan tugasnya, menjaga dan membela kebajikan pelajar-pelajar Johor di Mesir. Satu perkara yang pasti, tidak mungkin Ustaz Hanif boleh bergerak sendirian. Maka, BKPJM yang diketuai oleh YDPnya dan disokong oleh para exco dan ahlinya adalah pembantu kepada pegawai ini.

Lebih 27 tahun BKPJM ditubuhkan. Selama itu juga, hal ehwal rumah atau mana-mana kemudahan yang disediakan, diselia selenggara oleh BKPJM. Jadi amat wajar jika kejadian seumpama ISMA-Mesir yang tidak meminta kebenaran YDP dan hanya menyangka pegawai sahaja sudah mencukupi dibantah. Rujuk YDP dan YDP akan berurusan dengan pegawai. Usah langkah bendul.

Mengenai Harta Kerajaan. Saya tidak pasti untuk mengulas, cuma, saya difahami, untuk membina rumah Johor di Rab’ah, menggunakan dana daripada Saham Waqaf negeri Johor. Jika dikatakan saham waqaf, banyak individu yang terlibat dalam pelaburan ini. Segala dana untuk membina, daripada pelaburan orang ramai dan kerajaan Johor hanya menggunakan kuasa amanah yang telah di amanahkan untuk mengalirkan wang tersebut.

Mengenai Asrama Pelajar Johor Di Hayyu 8, lebih 20 tahun rumah itu didiami. Statusnya, masih belum pasti. Rujuk YPJ, katanya milik MAIJ dan begitulah sebaliknya. Namun, saya tidak boleh mengulas panjang. Jadi, kalau Harta Kerajaan pun, ISMA atau UMNO boleh guna sesuaka hati ke?. Adakah jika harta kerajaan, harta BAPAK ISMA dan UMNO serta kuncu-kuncunya?.

Mamak YDP pula. Saya amat benci perkataan ini dan jujur, saya amat marah dengan kenyataan ini. Ingat lagi saya ketika BKPJM sibuk untuk MAT dan pengundian. Jawatan YDP BKPJM kali ini ada dua calon. Ustaz Basir dan Ustaz Zaki. Kedua-duanya berkaliber, berkarisma dan mempunyai cirri-ciri kepimpinan yang wajar disegani. Namun, saya ada calon pilihan saya.

Maka, tanda sokongan saya dari jauh (kerana saya bercuti di Malaysia), saya letakkan status YM saya “saya sokong bukan Melayu (786)”. Ustaz Faizal menegur saya dengan teguran amat sinis. Mulalah dia membandingkan pelajar UIAM yang kononnya lebih tahu perlembagaan daripada pelajar Al-Azhar. Dan beliau juga tidak terkecuali dalam menyatakan tentang perlembagaan mengenai makna melayu, status melayu dan sebagainya. Seolah-olah dia sahaja yang tahu perlembagaan, yang lain tidak. Kini, pendekar melayu tulin kita, kata YDP mamak YDP.

Sedikit mengenai artikelnya sebelum ini, mengenai Mesir tempat mengkaderan untuk menjadi Ahli PAS. PMRAM adalah agen utamanya. Saya amat bimbang sekali dengan artikel ini. Kerana, saya tidak pasti, Ustaz Faizal Sabhun kita ini, sejauh mana dia mengkaji dan menyediakan bukti untuk membenarkan apa yang ditulis. Fakta-fakta (kononnya) beliau semuanya fakta yang sama dalam semua artikel-artikel beliau jika mengulas mengenai PMRAM sebagai agen PAS. Saya juga tidak pasti jika UMNO boleh terpikat untuk mengambil beliau sebagai orang kuatnya. Sudah tentu UMNO yang kini “retak nanti belah” makin kucar kacir denga fakta “mentah” beliau.

Sekadar untuk mengajak berfikir bersama. Apa releven Kelab UMNO luar Negara ditubuhkan?. Soalan ini pernah saya ajukan kepada beliau dan jawabannya, Kelab UMNO BUKAN politik tetapi kebajikan.

Bukankah itu tipu namanya? Terang lagi bersuluh UMNO itu parti politik dan kelab UMNO juga mengunakan lambang UMNO sebagai logonya, masih dinafikan, bukan tujuan politik tetapi kebajikan.

PMRAM yang “hidup” terlebih dahulu daripada kelab UMNO lagilah ISMA, yang tidak ada kaitan langsung dengan mana-mana pertubuhan politik di Malaysia atau pun Mesir itulah yang didendam, yang dibenci dan dituduh agen PAS. Adakah kasar jika saya kata, mereka ini BODOH?.

Saya juga agak hairan. Mengapa Ustaz Faizal tidak dipelawa bermuzakarah dan diberi peluang luahkan segala apa yang terbuku dan terpendam di hatinya. Sama-sama kita dengar pendapatnya di khalayak umum dan mungkin kita boleh kongsi bersama. Tetapi, rupanya, ada. Ada dipelawa beliau untuk berhujah dan berkongsi pendapat dalam program Bicara Siswa : Mahasiswa : Antara Ledakan Ideologi dan Masa Depan Negara, anjuran SPR M3K tetapi, mungkin beliau terlalu sibuk maka, beliau TIDAK DAPAT HADIR ke majlis tersebut.

Sampai bila orang seperti ini akan teruskan agendanya yang menyusahkan hidup orang, kita pun tidak pasti. Apa yang pasti, dia tetap UMNO. Saya sokong apa? Sudah tentu ISLAM FOR All. Di Mesir, hanya BKPJM dan PMRAM sahaja yang saya memberikan setia selagi tidak bercanggah dengan Al-Quran dan Sunnah.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Monday, September 28, 2009

SETELAH TIGA BULAN

بسم الله الـــرحمن الــرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam dan nikmat kesihatan untuk terus hidup dam berbakti.

Terasa hambar di hati melihat sesawang lelabah maya berserabut pada halaman maya ini kerana hampir tiga bulan tidak dibuka. Mood yang tiada untuk menulis atau bercerita mahupun sekadar merepek di halaman ini menyebabkan ia terbiar begitu sahaja. Namun, tidak mengapa, laman ini bukanlah laman pilihan untuk ditatapi.

SETELAH TIGA BULAN

Bermula 7 Julai 2009 hingga kehari entri ini ditulis, genap tiga bulan laman maya ini terbiar lesu. Ada sahaja cerita untuk dikongsi bersama terutamanya keseronokan dan kedukaan untuk melaksanakan SPIJ BKPJM 2009 ini, tetapi, mood untuk menulis tiada. Ditambah lagi dengan domain via.my yang digunakan berat dan line internet yang agak lembab tidak boleh membukanya. Jadi, saya ubah semula daripada via.my kepada blogspot.com.

SIMPOSIUM PELAJAR ISLAM JOHOR 2009

Alhamdulillah, pelbagai cabaran dan ujian daripada Allah untuk menilai sejauh mana AJK Pelaksana yang dilantik untuk melaksanakan SPIJ 2009 ini ikhlas bekerja. Bermula dengan mesyuarat kali pertama di Madrasah Arabiah Kluang "dilawati" oleh PPAD Kluang dan beberapa yang lain semata-mata ingin memastikan ia merupakan mesyuarat kerana difahamkan, pihak PPAD Kluang menerima laporan bahawa kami mengadakan Ijtimak Pemuda PAS di sana. Pelik, siapa pengkhianat yang buat khabar angin itu? Tiada siapa yang tahu melainkan pengetua MAK dan AJK-AJK yang terlibat dengan mesyuarat itu.

Pelbagai cerita menarik mengenai SPIJ ini. Budget pula tidak mencukupi dan kertas kerja tidak dapat meyakinkan pihak yang memberi sumbangan. Mungkin ini satu muhasabah untuk BKPJM agar tidak menjadikan "pengalaman-pengalaman lepas" atau "cara orang-orang lepas" membuat kertas kerja sebagai sandaran seratus peratus. Muqaddimah sahaja sudah semuka. Sedangkan kertas kerja hanya menyatakan tujuan dan menerangkan kaedah program juga perbelanjaannya. Begitu juga anggaran belanjawan, diselitkan sekali subsidi minyak dan sebagainya, inilah antara yang ditegur oleh beberapa pihak.

Lupakan mengenai kertas kerja, ia perkara furu' semata. SPIJ peringkat negeri asalnya, namun, oleh kerana beberapa masalah dan anjakan, akhirnya SPIJ yang bertaraf negeri, ditukar menjadi peringkat daerah Mersing dan pesertanya seramai 100 orang daripada pelajar darjah khas agama daerah Mersing dan Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Al-Islamiah Mersing. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan kesungguhan AJK Pelaksana yang dilantik.

PUASA

SPIJ juga dalam bulan Ramadhan, hanya tujuh hari sahaja lagi untuk berhari raya. Namun, ia berjalan dengan baik.

Memanglah tidak lama saya tidak pulang, hanya setahun sahaja, tetapi, agak teruja dengan susasa Ramadhan di Malaysia. Diakui, Ramadhan di Malaysia tidak ubah seperti pesta makan-makan semata, tidak seperti Mesir sebagai contoh termudah, meriah dengan segala macam amal ibadah jua sedekah. Tetapi, agaknya, saya orang Malaysia, meriah lagi di Malaysia.

Bazar, kuih muih, juadah pelbagai dan aneka macam menu dan minuman, dapat didapati ketika bazar Ramadhan.

SOLAT TARAWIH

Alhamdulillah, Malaysia mengambil pendapat untuk mengerjakan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat.

Namun, sedikit sedih di hati, apabila, terkejar-kejarkan 20 rakaat, solat tidak ubah seperti ayam mematuk jagung. Bacaan yang laju, serta perbuatan rukun yang tidak terjaga menyebabkan, erti dan konsep Solat Tarawih itu, tidak dapat diterjemahkan. Kita berpuasa dan sedikit letih di siang hari, maka, malamnya, kita beribadah untuk merehatkan diri. Tetapi, lain pula yang terjadi.

Ironinya lagi, ada beberapa pihak yang mempertikaikan mengenai segelintir jemaah yang tidak solat di surau atau masjid-masjid, tetapi solat di Markaz PAS. Pelbagai hujah yang timbul mengenai hal ini, ada daripada orang PAS sendiri yang mengatakan, inilah masanya untuk kita mendekati masyarakat, kenapa tidak solat di surau atau masjid. Orang UMNO pula kata dengan mendabik dada, kononnya PAS sebagai Parti Islam tetapi Solat Tarawih lapan rakaat sahaja. Pelbagai lagi yang saya dengar.

Mengenai solat di Markaz, bagi saya tidak perlu wujud pertikaian. Markaz itu tempat berkumpul dan dijadikan juga tempat solat. Jamaah yang hadir itu sekadar untuk memakmurkan tempat mereka. Berapa ramailah sangat Jamaah yang boleh muat dalam Markaz itu jika hendak dibandingkan dengan surau dan masjid kini yang besar-besar semuanya. Tetapi, apa yang saya lihat, masjid dan surau, untuk penuh satu saf sahaja pun, amat sukar. Usahlah dipertikai orang yang nyata solatnya. Tetapi sama-sama usaha macam mana untuk membuatkan orang Islam yang tidak solat, supaya solat.

Mengenai solat 8 rakaat atau 20, yang 8 rakaat usah terasa mengikut sunnah, yang 20 rakaat usah mendabik dada menyangka pahala lebih.

HARI RAYA

Sungguh pantas masa berlalu, Ramadhan yang ditunggu akan pergi jua. Syawal pula bertandang membawa 1001 keceriaan dan kegembiraan bagi mereka yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mengerjakan ibadah di bulan Ramadhan.

Sedih juga di hati, melihat bila tibanya syawal, insan yang paling seronok, para artis. Syawal ini untuk mereka yang bermujahadah mencari redha Allah di bulan Ramadhan, maka Allah menghadiahkan syawal untuk mereka. Marilah sama-sama kita renung kembali, agak-agaknya kita ini, tergolong atau tidak dalam senarai mereka yang layak merayakan Syawal.

Sudah seminggu Syawal bertandang. Kemeriahan masih terasa. Walapun sekolah telah mula sesi pembelajarannya, begitu juga sesiapa yang bekerja, seawal Syawal ke 3 telah pun memulakan kerja, namun, jemputan rumah terbuka masih lagi diterima.

RUMAH TERBUKA - ISMA MESIR

Agak terkejut bila diberitakan, ISMA Mesir menganjurkan rumah terbuka di Asrama Pelajar Johor Rab'ah. Lagi terkejut apabila, mereka "melangkah bendul" tanpa merujuk YDP Johor terlebih dahulu. Sehari sebelum program, baru YDP mendapat jemputan. Agaknya, waktu itu, YDP mesti terkejut besar.

Saya tidak pasti bagaimana ISMA Mesir begini biadab dan saya juga tidak pasti bagaimana mereka berfikir atau cara mereka berfikir. Tapi, saya tidak boleh ulas panjang kerana, saya tiada ketika situasi ini berlaku. Diakui bahawa, BKPJM ada pegawai, tetapi pegawai itu menjaga kebajikan, urusan lain dilakukan oleh BKPJM sendiri melalui YDPnya. Jika berlaku apa-apa atau ada majlis dan sebagainya, yang menguruskan ialah BKPJM. Jadi, segala urusan mengenai BKPJM dan apa-apa yang dimiliki oleh Johor, perlu berhubung dengan YDP BKPJM dan YDP akan berbincang dengan pegawainya. Inilah yang saya maksudkan dengan "saya tidak pasti bagaimana mereka berfikir atau cara mereka berfikir". PMRAM sendiri walaupun persatuan induk, mereka akan meminta izin YDP dahulu jika mahu menggunakan mana-mana rumah negeri. Namun, ia sudah pun berlangsung.

Banyak perkara yang kita sendiri tidak sangka untuk terjadi. Saya dan semua perlu akui bahawa kita berhadapan dengan manusia yang pelbagai kerenahnya. Otak manusia itu sama, namun fikiran kita berbeza. Semoga Allah melindungi kita daripada sebarang bentuk pengkhiatan manusia.

KINI

Kini...saya hanya terfikir untuk pulang ke Mesir secepatnya, sudah mafsul, kawan-kawan lain, telah pun menghitung hari untuk pulang ke Malaysia selamanya kerana telah pun di tahun akhir pengajian. Saya sahaja masih terkapai-kapai.

Kepada kawan-kawan yang sentiasa memberikan bantuan setika susah dan senang, hanya Allah sahaja yang boleh membalasnya. Doakan saya tabah dan boleh meneruskan pengajian. Cabaran paling utama kini ialah, bagaimana saya boleh meyakinkan kedua ibu dan bapa.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Sunday, July 05, 2009

PESANAN AYAH

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأمابعد

Al-Hamdulillah, bersuyukur saya kehadrat Ilahi kerana diberikan nikmat iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Hari berganti hari, yang ditunggu kian tiba. Teruja juga walaupun sudah berpengalaman pulang ketanah air pada akhir tahun 2007 yang lalu. Seronok bila terkenangkan kampung halaman yang indah, pepantai yang tenang dan aman serta desiran ombak dihiasi dengan hembusan bayu laut Cina Selatan yang bertiup tenang, semuanya itu, menggamit lagi hati untuk pulang.

Namun, dalam keseronokan untuk pulang, teringat pula akan wabak H1N1 atau insfluaza A, juga dikenali dengan selesema babi yang melanda dunia, Malaysiaku tercinta tidak terlepas dari bahananya. Bila melayari sesawang maya berita tanahair, ada sahaja kes terbaru yang dikesan, ada sahaja keluarga atau individu yang dijangkiti. Bimbang.

Seminggu lalu, dapat satu pesanan ringkas daripada ayah dari Malaysia : "Call kejap, ada hal...penting", lebih kurang begitulah ayatnya. Terus log masuk voip dan call rumah, seraya ayah yang menjawab. "Pi, ingat nak balik nanti, tiba sahaja di airport terus pakai mask, beli satu di farmasi, ada jual... " pesan ayah tanpa didahului perbulan lain.

"Di Mesir, Al-Hamdulillah, buat masa ini, tidak seteruk Malaysia" saya meneruskan perbualan. "Kan mustahil dalam flight nanti tiada orang luar selain Mesir, so, mestilah berjaga-jaga juga. Pakai mask tu sampai KLIA nanti, cabut bila dah masuk dalam kereta, ingat apa yang abah pesan!"

Wah, agak serius bunyinya. Mahu sahaja dibatalkan penerbangan, tapi, mana sanggup. Harga tiket bukannya seperti harga tiket Mersing ke Kuala Lumpur, tetapi ribuan ringgit juga.

Insyaallah, segala langkah kelamatan akan diutamakan. Tetapi yang penting, hati yang teruja tetap teruja. Dalam benak ada keropok lekor, pantai, pelbagai jenis makanan laut yang murah dan segar, telatah-telatah manja dan nakal anak-anak saudara dan berbagai lagi. Kepada BKPJM yang bercadang melantik saya menjadi setiausaha jawatankuasa sambutan hari keluarga, 15 Julai ini, saya minta maaf, tidak dapat menolong, juga kepada PMRAM (Ust Jamal ) yang bercadang melantik saya menjadi addhoc PMHK ogos ini, juga saya minta ampun dan maaf, saya bantu dari Malaysia sahaja.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN