Monday, September 28, 2009

SETELAH TIGA BULAN

بسم الله الـــرحمن الــرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam dan nikmat kesihatan untuk terus hidup dam berbakti.

Terasa hambar di hati melihat sesawang lelabah maya berserabut pada halaman maya ini kerana hampir tiga bulan tidak dibuka. Mood yang tiada untuk menulis atau bercerita mahupun sekadar merepek di halaman ini menyebabkan ia terbiar begitu sahaja. Namun, tidak mengapa, laman ini bukanlah laman pilihan untuk ditatapi.

SETELAH TIGA BULAN

Bermula 7 Julai 2009 hingga kehari entri ini ditulis, genap tiga bulan laman maya ini terbiar lesu. Ada sahaja cerita untuk dikongsi bersama terutamanya keseronokan dan kedukaan untuk melaksanakan SPIJ BKPJM 2009 ini, tetapi, mood untuk menulis tiada. Ditambah lagi dengan domain via.my yang digunakan berat dan line internet yang agak lembab tidak boleh membukanya. Jadi, saya ubah semula daripada via.my kepada blogspot.com.

SIMPOSIUM PELAJAR ISLAM JOHOR 2009

Alhamdulillah, pelbagai cabaran dan ujian daripada Allah untuk menilai sejauh mana AJK Pelaksana yang dilantik untuk melaksanakan SPIJ 2009 ini ikhlas bekerja. Bermula dengan mesyuarat kali pertama di Madrasah Arabiah Kluang "dilawati" oleh PPAD Kluang dan beberapa yang lain semata-mata ingin memastikan ia merupakan mesyuarat kerana difahamkan, pihak PPAD Kluang menerima laporan bahawa kami mengadakan Ijtimak Pemuda PAS di sana. Pelik, siapa pengkhianat yang buat khabar angin itu? Tiada siapa yang tahu melainkan pengetua MAK dan AJK-AJK yang terlibat dengan mesyuarat itu.

Pelbagai cerita menarik mengenai SPIJ ini. Budget pula tidak mencukupi dan kertas kerja tidak dapat meyakinkan pihak yang memberi sumbangan. Mungkin ini satu muhasabah untuk BKPJM agar tidak menjadikan "pengalaman-pengalaman lepas" atau "cara orang-orang lepas" membuat kertas kerja sebagai sandaran seratus peratus. Muqaddimah sahaja sudah semuka. Sedangkan kertas kerja hanya menyatakan tujuan dan menerangkan kaedah program juga perbelanjaannya. Begitu juga anggaran belanjawan, diselitkan sekali subsidi minyak dan sebagainya, inilah antara yang ditegur oleh beberapa pihak.

Lupakan mengenai kertas kerja, ia perkara furu' semata. SPIJ peringkat negeri asalnya, namun, oleh kerana beberapa masalah dan anjakan, akhirnya SPIJ yang bertaraf negeri, ditukar menjadi peringkat daerah Mersing dan pesertanya seramai 100 orang daripada pelajar darjah khas agama daerah Mersing dan Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah Al-Islamiah Mersing. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan kesungguhan AJK Pelaksana yang dilantik.

PUASA

SPIJ juga dalam bulan Ramadhan, hanya tujuh hari sahaja lagi untuk berhari raya. Namun, ia berjalan dengan baik.

Memanglah tidak lama saya tidak pulang, hanya setahun sahaja, tetapi, agak teruja dengan susasa Ramadhan di Malaysia. Diakui, Ramadhan di Malaysia tidak ubah seperti pesta makan-makan semata, tidak seperti Mesir sebagai contoh termudah, meriah dengan segala macam amal ibadah jua sedekah. Tetapi, agaknya, saya orang Malaysia, meriah lagi di Malaysia.

Bazar, kuih muih, juadah pelbagai dan aneka macam menu dan minuman, dapat didapati ketika bazar Ramadhan.

SOLAT TARAWIH

Alhamdulillah, Malaysia mengambil pendapat untuk mengerjakan solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat.

Namun, sedikit sedih di hati, apabila, terkejar-kejarkan 20 rakaat, solat tidak ubah seperti ayam mematuk jagung. Bacaan yang laju, serta perbuatan rukun yang tidak terjaga menyebabkan, erti dan konsep Solat Tarawih itu, tidak dapat diterjemahkan. Kita berpuasa dan sedikit letih di siang hari, maka, malamnya, kita beribadah untuk merehatkan diri. Tetapi, lain pula yang terjadi.

Ironinya lagi, ada beberapa pihak yang mempertikaikan mengenai segelintir jemaah yang tidak solat di surau atau masjid-masjid, tetapi solat di Markaz PAS. Pelbagai hujah yang timbul mengenai hal ini, ada daripada orang PAS sendiri yang mengatakan, inilah masanya untuk kita mendekati masyarakat, kenapa tidak solat di surau atau masjid. Orang UMNO pula kata dengan mendabik dada, kononnya PAS sebagai Parti Islam tetapi Solat Tarawih lapan rakaat sahaja. Pelbagai lagi yang saya dengar.

Mengenai solat di Markaz, bagi saya tidak perlu wujud pertikaian. Markaz itu tempat berkumpul dan dijadikan juga tempat solat. Jamaah yang hadir itu sekadar untuk memakmurkan tempat mereka. Berapa ramailah sangat Jamaah yang boleh muat dalam Markaz itu jika hendak dibandingkan dengan surau dan masjid kini yang besar-besar semuanya. Tetapi, apa yang saya lihat, masjid dan surau, untuk penuh satu saf sahaja pun, amat sukar. Usahlah dipertikai orang yang nyata solatnya. Tetapi sama-sama usaha macam mana untuk membuatkan orang Islam yang tidak solat, supaya solat.

Mengenai solat 8 rakaat atau 20, yang 8 rakaat usah terasa mengikut sunnah, yang 20 rakaat usah mendabik dada menyangka pahala lebih.

HARI RAYA

Sungguh pantas masa berlalu, Ramadhan yang ditunggu akan pergi jua. Syawal pula bertandang membawa 1001 keceriaan dan kegembiraan bagi mereka yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mengerjakan ibadah di bulan Ramadhan.

Sedih juga di hati, melihat bila tibanya syawal, insan yang paling seronok, para artis. Syawal ini untuk mereka yang bermujahadah mencari redha Allah di bulan Ramadhan, maka Allah menghadiahkan syawal untuk mereka. Marilah sama-sama kita renung kembali, agak-agaknya kita ini, tergolong atau tidak dalam senarai mereka yang layak merayakan Syawal.

Sudah seminggu Syawal bertandang. Kemeriahan masih terasa. Walapun sekolah telah mula sesi pembelajarannya, begitu juga sesiapa yang bekerja, seawal Syawal ke 3 telah pun memulakan kerja, namun, jemputan rumah terbuka masih lagi diterima.

RUMAH TERBUKA - ISMA MESIR

Agak terkejut bila diberitakan, ISMA Mesir menganjurkan rumah terbuka di Asrama Pelajar Johor Rab'ah. Lagi terkejut apabila, mereka "melangkah bendul" tanpa merujuk YDP Johor terlebih dahulu. Sehari sebelum program, baru YDP mendapat jemputan. Agaknya, waktu itu, YDP mesti terkejut besar.

Saya tidak pasti bagaimana ISMA Mesir begini biadab dan saya juga tidak pasti bagaimana mereka berfikir atau cara mereka berfikir. Tapi, saya tidak boleh ulas panjang kerana, saya tiada ketika situasi ini berlaku. Diakui bahawa, BKPJM ada pegawai, tetapi pegawai itu menjaga kebajikan, urusan lain dilakukan oleh BKPJM sendiri melalui YDPnya. Jika berlaku apa-apa atau ada majlis dan sebagainya, yang menguruskan ialah BKPJM. Jadi, segala urusan mengenai BKPJM dan apa-apa yang dimiliki oleh Johor, perlu berhubung dengan YDP BKPJM dan YDP akan berbincang dengan pegawainya. Inilah yang saya maksudkan dengan "saya tidak pasti bagaimana mereka berfikir atau cara mereka berfikir". PMRAM sendiri walaupun persatuan induk, mereka akan meminta izin YDP dahulu jika mahu menggunakan mana-mana rumah negeri. Namun, ia sudah pun berlangsung.

Banyak perkara yang kita sendiri tidak sangka untuk terjadi. Saya dan semua perlu akui bahawa kita berhadapan dengan manusia yang pelbagai kerenahnya. Otak manusia itu sama, namun fikiran kita berbeza. Semoga Allah melindungi kita daripada sebarang bentuk pengkhiatan manusia.

KINI

Kini...saya hanya terfikir untuk pulang ke Mesir secepatnya, sudah mafsul, kawan-kawan lain, telah pun menghitung hari untuk pulang ke Malaysia selamanya kerana telah pun di tahun akhir pengajian. Saya sahaja masih terkapai-kapai.

Kepada kawan-kawan yang sentiasa memberikan bantuan setika susah dan senang, hanya Allah sahaja yang boleh membalasnya. Doakan saya tabah dan boleh meneruskan pengajian. Cabaran paling utama kini ialah, bagaimana saya boleh meyakinkan kedua ibu dan bapa.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

0 fikrah:

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN