Thursday, June 26, 2008

Keperluan Pada Ilmu Yang Berkat

بسم الله الرحمن الرحيم
الحـــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين

Ilmu merupakan elemen terpenting dalam proses membangun jiwa da masyarakat. Diibarat umpama sebuah pelita yang cahayanya menjadi penerang kegelapan malam gelita. Tanpa ilmu pengetahuan di jiwa, akan pincanglah diri, hancurlah masyarakat dan kebudayaan kini tidak akan wujud.

Zaman kini, zaman kemajuan dimana kebendaan menjadi ukuran kepada kebijaksanaan sesuatu bangsa atau individu. Perbatasan dunia tanpa sempadan atau dunia dihujung jari memberikan gambaran jelas mengenai evolusi ilmu pengatahuan manusia kini. Seseorang itu sudah bleh dikategorikan sebagai ketinggalan zaman dengan hanya tidak tahu aplikasi internet sahaja. Hal ini menjadikan saingan kemajuan melalui evolusi dahsyat ilmu pengetahuan dalam segenap bidang sebagai ukuran kematangan dan kemajuan.

Namun kini, ilmu yang dicari dan diaplikasikan hanya ilmu cabangan dunia. Tidak ramai yang benar-benar maju dan mahir mengaplikasikan ilmu asas Islam seperti Feqah, Usuluddin dan sebagainya. Penuntut ilmu agama cukup ramai. Lihat sahaja pelajar Universiti Al-Azhar, setiap tahun dipenuhi akan penuntut baru daripada Malaysia khasnya dan merata dunia amnya.

Berbekalkan dengan ramainya graduan Al-Azhar, maka sepatutnya kita kurang merasa risau akan masalah ummah kini kerana setiap tahun, ribuan graduan jurusan Islam pulang kepangkuan masyarakat untuk memberikan penawar jiwa. Namun, sebaliknya berlaku kini. Ini kerana, KEBERKATAN itu kurang diambil kira oleh kita pelajar agama.

Berkata Al-Alim Syeikh Rabbani Syeikh Zarnuji dalam kitabnya “Ta’lim Al-Muta’allim Toriq At-Ta’lum” : Sesungguhnya aku telah melihat betapa ramainya penuntut ilmu pada zaman ini belajar bersungguh-sungguh tetapi tidak memperolehi manfaat dan berkat. Ini kerana mereka telah meninggalkan beberapa syarat menuntut ilmu. Dan sesiapa yang mengabaikan syarat-syarat menuntut ilmu, maka ilmunya tidak akan berhasil…

Benar sekali kata Syeikh Zarnuji. Ramai pelajar yang sungguh rajin dalam proses menuntut ilmu. Tidak lekang tangannya daripada nota-nota dan sebagainya demi memastikan keputusan peperiksaan yang keluar nanti menjanjikan kecemerlangan kepada dirinya. Namun, adakah kita mengambil berat mengenai keberkatan ilmu kita melalui disiplin dan etikanya. Marilah kita sama-sama menerokai serba sedikit mengenai cara untuk mendapatkan ilmu yang berkat.

MENGAPA PERLU BERKAT?

Berkat membawa maksud bahagia dan manfaat. Islam sangat mementingkan keberkatan dan kebahagiaan dalam kehidupan kerana hanya dengan keberkatan datangnya ketenangan, kejayaan dan kebahagiaan sebenar di dunia dan di akhirat.

Firman Allah swt

ولو أن أهل القرى آمنوا والتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض

“ dan sekiranya penduduk negeri (manusia) beriman dan bertaqwa nescaya kami buka pintu keberkatan dari langit dan bumi “
Surah Al-Akraf:96

وهذا كتاب أنزلناه مبارك فاتبعوه

“ inilah kitab (Al-Quran) yang kami turunkan untuk diamalkan. Ianya kitab yang penuh keberkatan maka patuhilah isi kandungannya”
Surah Al-An’am:155

Rasulullah saw pernah mendoakan Abu Sulaiman dan Ummu Sulaim dengan doa ;

بارك الله لكما

“ semoga Allah memberkati kamu berdua”

Di dalam doa qunut antaranya ;

وبارك لنا فيما أعطيت

“dan berkatilah ktas kami ( Ya Allah ) segala apa yang Engkau berikan”

Jelaslah kepata kita, betapa keberkatan pada ilmu itu perlu ada jika kita mahu ilmu yang sempurna yang boleh memberikan manfaat dan kebahagiaan pada diri, keluarga dan masyarakat. Sesungguhnya perkataan berkat dalam kamus kehidupan barat. Kerana inilah kehidupan mereka sentiasa sesat dan didalam kegelapan nyata walaupun mereka maju.

Golongan kristian dan yahudi mencapai kejayaan kebendaan yang ketara namun mereka sentiasa membuat kerosakan di atas bumi Allah dan dikutuk oleh Allah di dalam Al-Quran. Inilah tanda kehidupan yang tidak diberkati Allah taala, firman Allah taalah di dalam surah Al-Maidah ayat 78 yang bermaksud ;

“ telah dilaknati mereka yang kafir dikalangan Bani Israil di atas lidah Daud dan Ibnu Maryam (kerana menderhaka kepada Allah)


ILMU YANG MESTI DIPELAJARI

Menuntut ilmu adalah wajib bagi orang Islam lelaki dan perempuan. Maksud firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 122 ;

“ Hendaklah keluar sebahagian sahaja dari kamu pergi berperang dan yang tinggal hendaklah menuntut ilmu secara mendalam supaya mereka dapat mengajar kaumnya apabila pulang kepadanya”

Ini membawa maksud, menuntut ilmu itu wajib kepada umat Islam. Dengan ini, kita wajib menuntut ilmu sama ada ilmu dunia atau akhirat. Sekiranya ummat Islam sentiasa leka dan malas, ia akan membawa kepada kemurkaan Allah kerana ingkar perintahNya dan ummah akan mundur.

Ilmu yang wajib dituntut adalah ilmu dunia dan kahirat yang membawa kepada kebahagiaan serta kemajuan dunia dan akhirat.

Friman Allah dalam surah Al-Qasas ayat 77 ;

وابتغ فيما آتاك تااه الدار الأخرة ولا تنس نصيبك من الدنيا

“dan rebutlah ganjaran yang Allah sediakan di akhirat dan jangan lupa nasib kamu di dunia”

Nabi saw bersabda yang bermaksud ;

“sesiapa keluar mencari ilmu Allah, akan dipermudahkan baginya jalan kesyurga”
( riwayat At-Turmizi)

“ Barang sesiapa yang inginkan dunia, maka dia mesti berilmu, barangsiapa yang mahukan akhirat, maka dia mesti berilmu dan brangsiapa yang mahukan dunia dan akhirat, maka die mesti berilmu”

MULIAKAN GURU, ILMU DAN RAKAN

Antara perkara utama untuk memastikan keberkatan ilmu itu kita dapat, kita perlukan memuliaka guru, ilmu dan rakan.

1. Memuliakan guru

Berkata saidina Ali : Aku adalah hamba kepada orang yang mengajarku walaupun satu huruf.

Berkata Ulama : Seseorang akan sampai apa yang diusahakan apabila memuliakan guru dan akan gagal dalam mencapai cita-cita apabila kita memuliakan guru.

Berkata Imam Sadiduddin As-Syirazi : Telah berkata guru-guru kami : sesiapa yang inginkan anaknya alim (berilmu) hendaklah memuliakan orang alim, sekiranya anaknya tidak alim, cucunya akan alim dan seterusnya.

Antara adab terhadap guru

1. Dengar dengan khusyuk pengajarannya walaupun diulangi sehingga 1000 kali
2. Rujuk kepada guru di dalam memilih ilmu.
3. Jangan duduk berhmpiran dengan guru (kecuali darurat).
4. Elakkan berakhlak buruk di hadapan guru kerana ia umpama anjing.
5. Jangan berjalan dihadapan guru (kecuali darurat)
6. Jangan duduk di tempat guru (kecuali darurat)
7. Jangan banyak bercakap di sisinya
8. Jangan bertanya kepada guru ketika mana dia penat. Pilihlah waktu yang sesuai.
9. Jangan ketuk pintunya berkali-kali. Sabar hingga dia dating berjumpa kita.
10. Muliakan anak-anak guru.
11.Elakkan tidak menziarahi guru lebih 40 hari. Kalai terlalu sibuk jangan tidak menghubunginya lebih 100 hari. Ini boleh mengurangkan keberkatan ilmu.
12. Bersalaman dn cium tangannya sebagai tanda hormat.
13. Sentiasa mendoakan guru selepas setiap solat.

2. Memuliakan Kitab.

Antaranya;

1. Pastikan kita berwuduh semasa memegang kitab.
2. Jangan mengadapkan atau melunjurkan kaki kearah kitab.
3. Menyusun kitb mengikut susunan seperti, Al-Quran teratas, diikuti kitab tafsir bi bawahnya, kitab haids di bawahnya dan seterusnya.
4. Jangan letak kitab ditempat yang hina contohnya di bawah katil, di tempat kasut, diselitkan di bawah ketiak, dibuang dalam tong sampah dan lain-lain.
5. Jangan letak sesuatu di atas kitab.
6. Cantikkan tulisan dalam kitab.
7. Jangan menulis menggunakan pen berdakwat merah kerana itu amalan ahli falsafah
8. Pegang kitab dengan tangan kanan.
9. Jangan biarkan kitab terbuka setlah siap membaca.

3. Memuliakan Rakan

Muliakanlah rakan-rakan kita yang sama menuntut ilmu dengan kita. Sayangi mereka dan sentiasa berlemah lembut kepada mereka supaya kita mendapat faedah dari mereka. Maksud sabda nabi saw

“ Sesiapa yang tidak menghormati orang dia tidak akan dihormati”

Hindarilah sikap berpura-pura kasih dan baik terhadap rakan. Orang yang berpura-pura hatinya gelap dan susah mendapat ilmu.

Inilah seba sedikit panduan untuk kita mendapat keberkatan ilmu yang boleh saya berkongsi bersama rakan sekalian, Bersamalah kita menjayakan misi mengislah ummah dengan memastikan ilmu yang kita perolehi bersama keberkatan Allah.

1 fikrah:

Ramli said...

Assalamualaikum wbt.

Dalam arikel di atas terdapat kata-kata: "Berkata Ulama : Seseorang akan sampai apa yang diusahakan apabila memuliakan guru dan akan gagal dalam mencapai cita-cita apabila kita memuliakan guru."

Saya rasa ada kesilapan .

Wasalam.

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN