Tuesday, December 01, 2009

SUARA DAN KEBERADAAN PMRAM

بسم الله الرحــمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Berkemungkinan, sebanyakan yang membaca entri saya kali ini, masing-masing akan mengatakan, ia sudah lama diperkatakan. Tetapi saya menulis entri ini bukan untuk menghangatkan isu yang lama, tetapi sekadar untuk menjelaskan pendapat saya.

Semalam (30 November 2009), ada seorang teman dari Malaysia ingin mengetahui mengenai SUARA Mesir. Siapakah SUARA, apakah peranannya, dan sejauh mana sambutan para mahasiswa/siswi di bumi Musa ini. Saya pun menjelaskan sedikit mengenai SUARA Mesir dan saya nyatakan bahawa, saya tidak bersetuju dengan kehadiran SUARA di sini.

Tidak dinafikan, peranan SUARA sebagai medium khusus untuk menyuarakan pandangan dan lontaran buah fikiran rakyat Malaysia di luar negara, tetapi, secara jelas, SUARA adalah proksi PR di Malaysia. Jadi, masalahnya apa?

Saya juga antara penyokong PR di Malaysia, tetapi, di Mesir, saya lihat, PMRAM ditekan dan diberikan pelbagai masalah yang sengaja diwujudkan oleh proksi-proksinya seperti JPMK, Nadi UMNO Mesir, ISMA dan lain-lainnya. PMRAM bukan menyebalahi mana-mana politik sama ada di Malaysia mahupun Mesir. Namun, pelbagai tuduhan dan tohmahan yang tidak berasas telah dilontarkan dan antara isu kini, mengenai bagaimana licik dan buruknya tindakan JPMK cuba menggagalkan Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran PMRAM yang pada asal rancangannya, akan diadakan di Al-Azhar Conference Center (ACC) dengan pelbagai usaha. Antara yang paling khianat, JPMK menghantar surat kepada pengurusan ACC dengan ditanda tangani sendiri oleh pengarahnya, menuduh PMRAM seumpama parti pembangkang di Malaysia. Kesannya, disaat akhir, pihak pengrusan ACC membatalkan sewaan PMRAM. Wang pendahuluan untuk sewaan dewan telah dibayar dan saya tidak pasti, wang pendahuluan sewaan tersebut dikembalikan atau pun tidak.

Jadi, kewujudan SUARA menambahkan lagi hujah meraka yang busuk hati pada PMRAM. Walaupun secara hakikatnya, PMRAM masih lagi tidak mengiktiraf penubuhan SUARA ini. Kesannya juga telah ada, semasa saya dan rakan-rakan lain menyertai RoadShow anjuran DESAK, mereka menyatakan bahawa, JPMK menggunakan hujah “PMRAM adalah SUARA, SUARA adalah PMRAM” untuk menguatkan lagi tohmahannya terhadap PMRAM sebagai proksi pembangkang. Jelas sebabnya.

Saya tertawa kecil apabila saya menyatakan pendapat mengenai SUARA, rakan saya itu kata, saya ini berfikrah UMNO. Kenapa? Jelasnya, menolak DESAK seumpama menolak PR di Malaysia. Saya mengagumi semangat juangnya bersama PR di Malaysia namun, di sini (Mesir) terlalu banyak perkara yang perlu dijaga untuk memastikan keberadaan PMRAM terkawal. PMRAM adalah satu-satunya badan induk mahasiswa/siswi Malaysia yang telah berusi 79 tahun, lebih tua dari UMNO, JPMK dan KBMK pun tidak wujud lagi ketika ini dan adanya KBMK adalah inisiatif PMRAM sendiri bagi memastikan para mahasiswa/siswi Malaysia mudah berurusan. Tetapi kini, lain pula yang berlaku.

Untuk memastikan PMRAM sentiasa terjaga, sebarang bentuk ancaman dari pelbagai sudut perlu ditangkis. Saya ahli PMRAM dan saya hanya bekerja untuk PMRAM sebagai persatuan induk dan BKPJM sebagai BKAN yang bernaung di bawah PMRAM. Mana-mana persatuan atau pertubuhan yang PMRAM tidak bekerjasama dengannya, saya juga tidak akan memberikan kerjasama pada mereka dan saya menyeru kepada seluruh ahli PMRAM agar bersama-sama bersatu memperkasakan PMRAM.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Tuesday, November 17, 2009

BERPERSATUAN DAN BERKAHWIN : DILEMA AZHARI

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat ilahi kerana diberikan nikmat iman dan Islam serta nikmat kesihatan yang berkekalan untuk terus hidup dan berbakti.

Tujuan utama kita sebagai mahasiswa Universiti Al-Azhar adalah untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan dan mematuhi setiap adab dan disiplinnya. Harapan tinggi menggunung daripada ibu-bapa untuk melihat anaknya menjadi orang yang berguna serta menjawat jawatan tinggi tidak wajar diabaikan kerana mereka telah "melabur" berjuta-juta ringgit juga keringat sepanjang hayatnya untuk memastikan kita berjaya.

*****

Setiap manusia secara fitrahnya ingin bercinta dan dicintai. Percintaan yang membawa hingga ke jinjang pelamin dan membina rumah tangga yang bahagia amat diidamkan oleh setiap manusia. Persoalannya, bilakah masanya untuk menjalinkan percintaan yang boleh membawa kejinjang pelamin?

Seringkali dibicarakan mengenai bercinta selepas perkahwinan. Dibahaskan juga, cinta sebenar itu selepas diijab kabul.

Sudut pandang manusia ini berbeza dan pelbagai. Soal percintaan ini amat subjektif untuk diperbahaskan untuk mendapat satu jawapan yang diguna pakai oleh semua. Paling menarik, kita sebagai mahasiswa. Adakah wajar percintaan itu berputik dalam keadaan kita masih lagi mempunyai komitmen utama sebagai seorang mahasiswa/siswi? Dan lebih tepat jika dipersoalkan mengenai adakah satu tindakan yang bijak untuk berkahwin dalam masa belajar?

Saya tidak mahu mengulas secara feqahnya mengenai tahap hukum perkahwinan bagi kita. Samada kita ini sudah melangkaui kewajiban untuk berkahwin, atau adakah juga sunat, harus dan lain-lainnya, tetapi ingin membawa dari sudut pandang kita sebagai mahasiswa/siswa Al-Azhar.

Jika ditanya antara sebab ingin berkahwin di sini, dan mengapa tidak berkahwin selepas tamat pengajian sahaja, antara jawabannya, kita berjauhan dan kebiasaannya, siswa dan siswi Al-Azhar ini sudah pun bercinta semenjak di bangku persekolahan lagi. Tidak kurangnya juga yang berkenal kenalan ketika telah berada di Mesir. Kewajiban untuk menjaga batasan perhubungan dan bimbang mengenai keselamatan orang yang disayangi, maka, perkahwinan adalah cara terbaik untuk dipilih.

Pada saya, hal ini bukan satu masalah yang perlu dipertikaikan. Saya mempunyai kawan-kawan yang berkahwin di sini dan saya juga bertanya mengenai, bagaimana pelajarannya? Bagaimana dibahagikan masa antara komitmen belajar dan suami atau isteri dan bagaimana pula pembahagian masa untuk belajar dan urusan-urusan lain setelah bergelar ibu atau bapa? Berdasarkan apa yang dibincangkan, ternyata, perbincangan lumat antara keluarga keduabelah pihak dan kesanggupan berkorban demi menjaga perhubungan ini terlebih dahulu dirancang rapi. Perbelanjaanya, urusan hidup seharian serta sebagainya, sudah difikirkan dan diaturkan secara baik untuk menghadapi cabaran mendatang.

Sering kali saya melihat persepsi tidak baik antara mahasiswa/siswi mengenai perkahwinan ini. Berkemungkinan kita masih tidak bersedia untuk menempuhi alam rumah tangga di waktu belajar, tetapi usah dipersoalkan orang yang benar-benar bersedia menghadapinya. Setiap sesuatu keputusan yang dibuat menuntut kepada sesuatu pengorbanan tidak kira samada kecil atau besar. Setiap pengorbanan itu juga menuntut kita merancang secara teliti dan tepat agar kita tidak kalah dan mengalah di tengah jalan.

*****

Persatuan adalah badan berorganisasi yang penting untuk memastikan kebajikan ahlinya terjaga. Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) yang bernaung di bawah persatuan induk, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) merupakan persatuan yang menjaga kebajikan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di bumi Musa ini.

Keberadaan persatuan bergantung kepada ahlinya. Daripada ahlinya juga, perlu ada badan yang mengurus persatuan ini.

Satu lagi perkara yang menjadi delema mahasiswa/siswi di bumi Musa ini, adalah sejauh mana mereka sepatutnya memberikan komitmen mereka kepada persatuan.

Pendapat demi pendapat juga pandangan yang berbeza dan pelbagai seringkali terdengar dari setiap mulut individu. Ada yang memberikan respon positif dan ada juga sebaliknya. Berpesatuan juga adalah salah satu daripada cabang ilmu yang sering kali dilupakan. Mempelajari bagaimana untuk menguruskan sesuatu organisasi dan memimpin tidak didapati dari tempat lain melainkan kita sendiri terlibat dalam sesuatu organisasi.

Saya sedikit kecewa dengan segelintir sahabat yang seringkali mempertikaikan orang yang dipandangnya aktif dalam persatuan. Saya mengakui bahawa yang mereka itu, rajin ke kelas yang diadakan di masjid Al-Azhar, Mudayafah dan lain-lain tempat untuk talaqqi pelbagai ilmu. Saya juga bersetuju secara amnya pendapat yang diajukan, namun, sikap yang tidak meraikan pendapat yang lain itu menyebabkan saya tidak setuju.

Ilmu berorganisasi juga perlu diterapkan. Bagi mereka yang secara yakin berpendapat bahawa, untuk berpersatuan, di Malaysia nanti pun boleh, adakah mereka secara yakin, dengan pengalaman yang tiada, boleh mentadbir dengan baik? Pembahagian masa yang seimbang perlu dibuat untuk mendisiplinkan diri bagi mereka yang mempunyai pelbagai komitmen untuk memastikan, tujuan utama mereka sebagai mahasiswa/siswi tidak terabai.

****

Saya meraikan semua pendapat. Cuma, pendapat yang tidak meraikan pendapat yang lain, saya tidak bersetuju. Namun ia tidaklah membawa maksud bahawa saya ini tidak menerima pendapat orang.

Saya akui tulisan ini mungkin sampah, namun, saya juga mempunyai pandangan saya sendiri. Sama-samalah kita memperbaiki diri dan menjadi mahasiswa/siswi yang berjaya di dunia dan akhirat.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Saturday, November 14, 2009

USRAH SULTAN MUHAMMAD EL-FATEH DI ABDEEN


Terima kasih diucapkan kepada keluarga Rumah Abdeen yang sudi menerima kunjungan mesra Usrah Sultan Muhammad Al-Fatih pada Jumaat, 13 November 2009 lalu. Semoga Allah membalas jasa baik kalian.

Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada adik-adik Usrah saya, Raqib, Nizam, Usamah, Yasar dan Ashraf, walaupun kalian sibuk, sudi juga memenuhkan masa cuti adik-adik dengan Usrah. Semoga ukhuwaah kita, tetap terjalin.


.



KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN