Tuesday, November 17, 2009

BERPERSATUAN DAN BERKAHWIN : DILEMA AZHARI

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat ilahi kerana diberikan nikmat iman dan Islam serta nikmat kesihatan yang berkekalan untuk terus hidup dan berbakti.

Tujuan utama kita sebagai mahasiswa Universiti Al-Azhar adalah untuk menimba seberapa banyak ilmu pengetahuan dan mematuhi setiap adab dan disiplinnya. Harapan tinggi menggunung daripada ibu-bapa untuk melihat anaknya menjadi orang yang berguna serta menjawat jawatan tinggi tidak wajar diabaikan kerana mereka telah "melabur" berjuta-juta ringgit juga keringat sepanjang hayatnya untuk memastikan kita berjaya.

*****

Setiap manusia secara fitrahnya ingin bercinta dan dicintai. Percintaan yang membawa hingga ke jinjang pelamin dan membina rumah tangga yang bahagia amat diidamkan oleh setiap manusia. Persoalannya, bilakah masanya untuk menjalinkan percintaan yang boleh membawa kejinjang pelamin?

Seringkali dibicarakan mengenai bercinta selepas perkahwinan. Dibahaskan juga, cinta sebenar itu selepas diijab kabul.

Sudut pandang manusia ini berbeza dan pelbagai. Soal percintaan ini amat subjektif untuk diperbahaskan untuk mendapat satu jawapan yang diguna pakai oleh semua. Paling menarik, kita sebagai mahasiswa. Adakah wajar percintaan itu berputik dalam keadaan kita masih lagi mempunyai komitmen utama sebagai seorang mahasiswa/siswi? Dan lebih tepat jika dipersoalkan mengenai adakah satu tindakan yang bijak untuk berkahwin dalam masa belajar?

Saya tidak mahu mengulas secara feqahnya mengenai tahap hukum perkahwinan bagi kita. Samada kita ini sudah melangkaui kewajiban untuk berkahwin, atau adakah juga sunat, harus dan lain-lainnya, tetapi ingin membawa dari sudut pandang kita sebagai mahasiswa/siswa Al-Azhar.

Jika ditanya antara sebab ingin berkahwin di sini, dan mengapa tidak berkahwin selepas tamat pengajian sahaja, antara jawabannya, kita berjauhan dan kebiasaannya, siswa dan siswi Al-Azhar ini sudah pun bercinta semenjak di bangku persekolahan lagi. Tidak kurangnya juga yang berkenal kenalan ketika telah berada di Mesir. Kewajiban untuk menjaga batasan perhubungan dan bimbang mengenai keselamatan orang yang disayangi, maka, perkahwinan adalah cara terbaik untuk dipilih.

Pada saya, hal ini bukan satu masalah yang perlu dipertikaikan. Saya mempunyai kawan-kawan yang berkahwin di sini dan saya juga bertanya mengenai, bagaimana pelajarannya? Bagaimana dibahagikan masa antara komitmen belajar dan suami atau isteri dan bagaimana pula pembahagian masa untuk belajar dan urusan-urusan lain setelah bergelar ibu atau bapa? Berdasarkan apa yang dibincangkan, ternyata, perbincangan lumat antara keluarga keduabelah pihak dan kesanggupan berkorban demi menjaga perhubungan ini terlebih dahulu dirancang rapi. Perbelanjaanya, urusan hidup seharian serta sebagainya, sudah difikirkan dan diaturkan secara baik untuk menghadapi cabaran mendatang.

Sering kali saya melihat persepsi tidak baik antara mahasiswa/siswi mengenai perkahwinan ini. Berkemungkinan kita masih tidak bersedia untuk menempuhi alam rumah tangga di waktu belajar, tetapi usah dipersoalkan orang yang benar-benar bersedia menghadapinya. Setiap sesuatu keputusan yang dibuat menuntut kepada sesuatu pengorbanan tidak kira samada kecil atau besar. Setiap pengorbanan itu juga menuntut kita merancang secara teliti dan tepat agar kita tidak kalah dan mengalah di tengah jalan.

*****

Persatuan adalah badan berorganisasi yang penting untuk memastikan kebajikan ahlinya terjaga. Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) yang bernaung di bawah persatuan induk, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) merupakan persatuan yang menjaga kebajikan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di bumi Musa ini.

Keberadaan persatuan bergantung kepada ahlinya. Daripada ahlinya juga, perlu ada badan yang mengurus persatuan ini.

Satu lagi perkara yang menjadi delema mahasiswa/siswi di bumi Musa ini, adalah sejauh mana mereka sepatutnya memberikan komitmen mereka kepada persatuan.

Pendapat demi pendapat juga pandangan yang berbeza dan pelbagai seringkali terdengar dari setiap mulut individu. Ada yang memberikan respon positif dan ada juga sebaliknya. Berpesatuan juga adalah salah satu daripada cabang ilmu yang sering kali dilupakan. Mempelajari bagaimana untuk menguruskan sesuatu organisasi dan memimpin tidak didapati dari tempat lain melainkan kita sendiri terlibat dalam sesuatu organisasi.

Saya sedikit kecewa dengan segelintir sahabat yang seringkali mempertikaikan orang yang dipandangnya aktif dalam persatuan. Saya mengakui bahawa yang mereka itu, rajin ke kelas yang diadakan di masjid Al-Azhar, Mudayafah dan lain-lain tempat untuk talaqqi pelbagai ilmu. Saya juga bersetuju secara amnya pendapat yang diajukan, namun, sikap yang tidak meraikan pendapat yang lain itu menyebabkan saya tidak setuju.

Ilmu berorganisasi juga perlu diterapkan. Bagi mereka yang secara yakin berpendapat bahawa, untuk berpersatuan, di Malaysia nanti pun boleh, adakah mereka secara yakin, dengan pengalaman yang tiada, boleh mentadbir dengan baik? Pembahagian masa yang seimbang perlu dibuat untuk mendisiplinkan diri bagi mereka yang mempunyai pelbagai komitmen untuk memastikan, tujuan utama mereka sebagai mahasiswa/siswi tidak terabai.

****

Saya meraikan semua pendapat. Cuma, pendapat yang tidak meraikan pendapat yang lain, saya tidak bersetuju. Namun ia tidaklah membawa maksud bahawa saya ini tidak menerima pendapat orang.

Saya akui tulisan ini mungkin sampah, namun, saya juga mempunyai pandangan saya sendiri. Sama-samalah kita memperbaiki diri dan menjadi mahasiswa/siswi yang berjaya di dunia dan akhirat.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Saturday, November 14, 2009

USRAH SULTAN MUHAMMAD EL-FATEH DI ABDEEN


Terima kasih diucapkan kepada keluarga Rumah Abdeen yang sudi menerima kunjungan mesra Usrah Sultan Muhammad Al-Fatih pada Jumaat, 13 November 2009 lalu. Semoga Allah membalas jasa baik kalian.

Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada adik-adik Usrah saya, Raqib, Nizam, Usamah, Yasar dan Ashraf, walaupun kalian sibuk, sudi juga memenuhkan masa cuti adik-adik dengan Usrah. Semoga ukhuwaah kita, tetap terjalin.


.



KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN