Tuesday, June 30, 2009

BUDAK UNIVERSITI @ PELAJAR UNIVERSITI

بسم الله الرحـــمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين وال
صلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله ولأصحابه أجمعين

Bersyukur saya kehadrat ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Setiap manusia ada perasaan dan setiap manusia juga sering kali memendam perasaan. Perasaan yang sering kali terpendam dan tidak diluahkan ibarat seperti menanak nasi, jika ditutup, ia akan membuak-buak keluar. Begitu juga hati kita.

Mungkin saya masih lagi tahun satu. Maka saya dianggap tidak memahami apa perasaan abang-abang dan rakan-rakan tahun tiga pengajian Islam dan pelajar-pelajar perubatan lain yang layak menerima zakat tetapi lewat menerimanya. Sehingga artikel ini ditulis, saya masih lagi belum pasti bila zakat untuk mereka yang layak boleh diambil.

Namun, apa yang boleh dilakukan? AJKT BKPJM termasuklah berisan penasihatnya berusaha yang terbaik untuk kebajikan ahli. Namun soal zakat, bukan bidang kuasa mereka. Jika yang lain masih ternanti-nanti bila akan menikmati wang zakat tersebut, begitu juga AJKT BKPJM yang layak juga masih ternanti-nanti. Tidak sepatutnya kita sebagai ahli meluahkan perasaan sehingga memarahi atau mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan di dalam blog rasmi BKPJM.

Ada juga yang mengata pelbagai ayat yang tidak sepatutnya keluar dari seorang muslim kepada saudara muslimnya yang lain, begitu juga yang mengatakan MAIJ tidak beramanah dalam soal zakat. Walaupun saya hanya administrator blog yang sekadar menguruskan blog BKPJM, saya juga turut merasa sedih dan terkilan mengenangkan sikap sahabat-sahabat saya. Namun, apa yang boleh dilakukan, saya hanya boleh berpesan, bersabarlah.

Namun, saya tidaklah menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Saya memahami perasaan anda yang masih menunggu wang zakat milik anda. Saya juga pernah memberontak jika sesuatu yang saya hajati tidak tertunai atau lambat ditunaikan. Namun, kita sekarang sudah mengerti akan tatasusila dan disiplin sesama insan dan sesama muslim. Beradaplah sesama insan dalam apa jua bentuk muamalah dan urusan.


sedih : ruangan shoutmix disalah guna
Saya juga suka untuk berpesan, setiap kenyataan rasmi mengenai BKPJM dan urusan-urusan yang dikendalikan oleh BKPJM hanya melalui kenyataan rasmi YDP BKPJM, Ustaz Mohd Firdauz Noh sahaja. Bersamalah kita sesama ahli bersatu demi keberadaan BKPJM sendiri. Jika bukan kita sebagai ahli tidak menyokong dan menambah mutu BKPJM, siapa lagi yang hendak diharapkan.
YA ALLAH,

Engkau mengetahui hati-hati ini
telah berkumpul kerana mengasihiMU,
bertemu untuk mematuhi perintahMU,
bersatu memikul beban dakwahMU,
hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk
mendaulat & menyokong syariatMU,
maka eratkanlah YA ALLAH akan ikatanya...
Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini
akan jalanNYA yang sebenar,
Penuhkanlah hati ini dengan cahaya RabbaniMu
yang tidak kunkung malap,
Lapangkanlah hati-hati ini dengan
limpahan iman dan keyakinan
dan keindahan tawakkal kepadaMU,
Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan
ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentangMU,
Jika Engkau mentakdirkan mati,
maka matikanlah pemilik hati-hati ini
sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMU,
Engkaulah sebaik-baik sandaran
dan sebaik-baik penolong ...

وصلى الله على ســيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وســلم

Tuesday, June 23, 2009

PERJUANGAN YANG IKHLAS MEMBAWA RAHMAT ALLAH

بسم الله الرحــــــمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Bersyukur saya kehadrat ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.



Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nik Mat berkata dalam kenyataannya : Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno. Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan. Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi.
Sumber : Malaysikini

Inilah semangat perjuangan yang didasari Al-Quran dan As-Sunnah. Segala permasalahan dibawa berbincang dan segala permasalahan dibawa kembali kepada garis pandu Al-Quran juga As-Sunnah. Isu UG telah selesai. Begitu juga dengan kononnya krisis antara Tok Guru Nik Aziz dan Ust Nasaruddin Isa. Ia diselesaikan dengan semangat kekeluargaan dan satu barisan perjuangan ikhlas mengharapkan nusrah Allah.

Maka, kepada para pekerja gerakan Islam, perkukuhkan lagi persaudaraan kita, akidah kita dan amalan kita. Ikhlaskan niat kita dalam perjuangan dan jadikan diri kita para murabitun dalam jalan mendaulatkan Islam. Waqafkan juga diri kita sebagai penolong agama Allah ini.

Firman Allah dalam surah As-Shof ayat 14 ;



Maksudnya ; Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah diri kamu pembela-pembela agama Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Maryam (ketika dia) berkata kepada menyokongnya itu : Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab : "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!". (setelah nabi Isa tidak berada di situ) maka sepuak dari Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Thursday, June 18, 2009

KONSEP PENGGABUNGAN DIRI ( INTIMA’ ) DALAM GERAKAN ISLAM : SATU PERKONGSIAN ILMU UNTUK PARA PEKERJA PAS

oleh : Mohd Hidayatus Saufi Khalid | Tob El-Ramly, Hayyu 10, Kaherah, Mesir

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجــمعين

Bersyukur saya kehadrat ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Al-Intima’ membawa erti penggabungan diri kepada sesuatu. Penggabungan diri ke dalam gerakan Islam bukan hanya sekadar mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli semata dan bukan juga hanya berulang alik ke markaz atau pusat-pusat gerakan sahaja. Malah penggabungan kita mestilah membawa pengertian yang lebih jauh dan melewati batas formaliti dan penilaian-penilaian lahiriah semata. Ia mesti selaras dengan kehendak syarak yang boleh membuktikan kemantapan akidah dan kekuatan hubungan pemikiran dan organisasi jamaah kita.

Penggabungan diri (intima’) bersama gerakan Islam membawa maksud seseorang itu mestilah menyerahkan dan mengorbankan seluruh tenaga dan kemampuannya sebagai khidmat kepada jamaah, menyerahkan segala kepentingan dirinya untuk kepentingan Islam dan bukan sebaliknya.

Kini, perlbagai ujian telah didatangkan oleh Allah kepada kita para pekerja PAS dan penyokongnya. Ia tidak lain antaranya bertujuan untuk menilai sejauh mana kita memahami konsep intima’ (penggabungan) diri kita bersama-sama perjuangan PAS di Malaysia. Gerakan Islam menolak penggabungan diri semata-mata kerana seseorang individu ( intima’ syakhsi ) yang membawa erti, kita bersama-sama dalam perjuangan PAS kerana seseorang. Jika seseorang itu telah tiada, maka, adakah kita akan meninggalkan perjuangan ini?
Saidina Abu Bakar pernah berkata dalam menenangkan para sahabat yang masih tidak dapat menerima akan memangkatan baginda Rasulullah saw : sesiapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah pun mati, tetapi sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu terus hidup dan tidak sesekali akan mati.
Antara ujian yang hebat kini yang melanda PAS yang ingin melihat sejauh mana kefahaman intima’ ahli dan penyokongnya ialah mengenai Unity Government (kerjaan perpaduan : UG). Sehingga ada kalangan ahli berani mengeluarkan kenyataan yang boleh dikatakan biadap terhadap YAB Dato’ Seri Presiden.
Ada juga yang berkata;
“Saya dengan ini mengharamkan setiap sen dan tenaga saya yang saya gunakan untuk berjuang dalam PAS jika PAS mahu juga bergabung dengan BN dalam UG...”

“Saya sokong Tuan Guru Nik Aziz..!
Harap Tuan Guru Haji Hadi dan Ust Nasha kembalilah ke perjuangan asal kita..."
Inilah contoh kurang faham mengenai konsep penggabungan diri dan ternyata inilah penggabungan yang dikategorikan sebagai penggabungan kerana individu. (intima’ syakhsi).

Oleh itu, saya rasa terpanggil untuk berkongsi sedikit ilmu milik Allah swt yang diberikan kepada saya bersama-sama para pekerja PAS untuk sama-sama kita memahaminya.

Konsep penggabungan pertama : Pengabungan (intima’) akidah.

Perkara pertama yang perlu kita sebagai pekerja gerakan Islam fahami ialah sejauh mana kita melarutkan akidah gerakan Islam itu ke dalam diri kita, kerana gerakan Islam menolak penggabungan secara zahirnya semata. Ini telah terbukti bahawa setiap gerakan yang tidak berlandaskan Islam dan para penyokongnya bergabung semata-mata kerana kepentingan diri dan orang tertentu akan menjadi satu faktor kehancuran kepada pertubuhan tersebut.

Oleh itu, penggabungan secara akidah ini membawa maksud penggabungan diri dan menganuti Islam itu sendiri. Ia seterusnya menuntut supaya seluruh parintah Allah ditaati disamping mengharapkan keredhaan Allah. Intima’ ini juga menolak konsep penggabungan kerana seseorang dan dapat mengelak daripada kehancuran dan perpecahan jamaah kerana kehilangan atau kematian seseorang di dalam jamaah.

Pengabungan diri bersama-sama gerakan Islam melalui akidah juga akan menjadikan seseorang itu terikat dengan Allah, demikian juga seluruh anggota gerakan Islam turut terikat dengan Allah. Inilah rahsia disebalik keberadaan gerakan Islam itu sendiri.

Firman Allah swt dalam surah Al-fath ayat 10;

Maksudnya : Bahawasanya orang-orang yang memberikan baiah (perjanjian) kepadamu, sesungguhnya mereka memberikan baiah kepada Allah, tangan (kekuasaan) Allah di atas tangan (kekuasaan) mereka, maka sesiapa yang melanggar baiahnya nescaya akan menimpa dirinya sendiri dan sesiapa menepati baiahnya kepada Allah makan Allah akan memberinya pahala yang besar.

Gerakan Islam juga menolak intima’ yang dibuat secara melulu yang didorong oleh semangat semata. Oleh itu kesedaran yang bersifat haraki dan iltizam yang bersifat ilmi adalah menjadi syarat bagi penggabungan diri ke dalam gerakan Islam. Dan telah terbukti bahawa meraka yang digolongkan sebagai golongan yang tercicir dalam perjuangan Islam adalah mereka yang menggabungkan diri secara melulu dan bertindak atas dorongan semangat semata.

Konsep penggabungan kedua : Pengabungan (intima’) masa hadapan.

Secara ringkasnya, boleh disimpulkan, penggabungan masa hadapan ini ialah kita mestilah mengikat masa depan kita dengan masa depan jamaah walau apa pun yang berlaku.

Ia juga membawa erti bahawa intima’ masa hadapan ini tidak terikat dengan satu jangka waktu yang tertentu. Tidak terbatas dalam usia muda dan akan tinggalkan jamaah bila berusia tua. Tidak juga terbatas ketika bujang dan akan meninggalkan jamaah setelah berumahtangga. Tidak terbatas dengan kemiskinan dan kesusahan dan menghilangkan diri setelah kaya dan senang.

Perjuangan ini hanya dibatasi dengan nyawa. Selagi masih bernyawa, selagi itulah kerja jamaah perlu dijalankan. Ia mestilah bersifat kekal dan tidak kebelakang atau terus meninggalkan jamaah. Biarlah kita terus bersama dengan jamaah sehingga kita mati juga sebagai orang yang masih lagi komitmen bersama jamaah.

Firman Allah swt dalam surah Al-Ankabut ayat 10-11 ;

Maksudnya : Dan diantara manusia itu ada orang-orang yang berkata “kami beriman kepada Allah” tetapi apabila dsakiti (kerana berimannya itu) kepada Allah, ia menganggap fitnah manusia itu sebagai azab dan jika dating pertolongan dari Tuhanmu, mereka pasti akan berkata “sesungguhnya kami adalah bersamamu”. Bukankan Allah lebih mengetahui apayang dalam dada semua manusia? Dan sesungguhnya Allah Allah mengetahui orang-orang yang beriman dan sesungguhnya die mengetahui orang-orang yang munafik.

Firman Allah swt lagi dalam surah Ali Imran ayat 146-148 ;

Maksudnya : Dan berapa banyak para nabi yang berperang bersama-sama mereka, sejumlah besar daripada pengikut-pengikutnya yang bertakwa tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, tidak lesu dan tidak pula menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. Tidak ada doa mereka selain daripada ucapan : Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebih-lebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. Kerana itu Allah memberikan kepada mereka pahala di dunia (kemenangan, harta rampasan, pujian dan lainnya) dan pahala juga di akhirat dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan.

Seruan dan dakwah kebenaran adalah seruan agar beriltizam, beramal dan berjihad, bertahan dan bersabar dengan segala mehnah. Telah menjadi satu sunnah (ketetapan) bahawa, pejuang gerakan Islam akan diuji dengan terdedah dengan pelbagai cabaran, tribulasi dan helah serta rancangan jahat para musuh Islam.

Firman Allah dalam surah Muhammad ayat 31 ;

Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami akan benar-benar menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di anatara kamu dan agar Kami menyatakan (buruk baik) urusanmu.

Oleh itu, kita sebagai pekerja jamaah Islam perlu berada dalam satu bentuk yang tersendiri dan berlainan daripada orang-orang lain di sudut akhlak, pergaulan dan percampuran. Kita mestilah hidup menurut prinsip dan untuk prinsip walap apa pun keadaan yang berlaku. Kita perlulah keluar daripada lingkungan ‘ananiah (keakuan) dan kita mestilah menjiwai dakwah kita dan perjuangan jamaah Islam.

Firman Allah swt dalam suruh Ar-Ra’d ayat 17 ;

Maksudnya : Adapun buih itu akan hilang sebagai yang tidak ada harganya. Ada pun yang member manfaat kepada manusia maka ia tetap di bumi.

Maka, setelah meneliti apa yang diperbincangkan ini, boleh kita simpulkan bahawa, konsep penggabungan diri (intima') kita bersama-sama perjuangan gerakan Islam seperti PAS khasnya bukanlah kerana di sana adanya Tuan Guru Dato' Seri Hj Abd hadi, Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz dan bukan juga adanya yang lain-lain tetapi, penggabungan kita ini berdasarkan aqidah yang tulin demi menegakkan agama Allah di muka bumi dan memastikan masa hadapan itu hanya milik Islam.

Maka, andai Tuan Guru Hj Hadi pergi, juga Tuan Guru Hj Nik Abd Aziz juga tiada, maka ia akan digantikan menurut syura. Kita sebagai pengerak dakwah tidak boleh sesekali meninggalkan jamaah selagi mana jamaah tidak lari dari dasar perjuangan berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. WAJIB bagi kita membaiki jamaah jika ada kelemahan namun, HARAM bagi kita meninggalkan jamaah Islam.

Saruan saya kepada diri saya dan semua penggerak dakwah, bukanlah kita pencetus dakwah ini dan bukanlah juga kita yang menamatkannya, tetapi kita adalah penyambung rantaian emas perjuangan ini. Hanya kematian menjadi noktahnya. Jangan sesekali kita inggar dengan pimpinan selagi tidak unsur yang bertentangan dengan syarak.
Saidina Omar Al-Khattab pernah berkata yang mafhumnya : Kita adalah kaum yang diangkat dan dimuliakan kerana Islam.
Beliau juga pernah berkata : Taatilah aku selagi mana aku bersama Al-Quran dan Sunnah, perangilah aku jika aku membelakangi keduanya itu.
Teguhkan ilmu, eratkan ukhuwah, usah diperdulikan sebarang ancaman juga kecaman musuh yang hanya ibarat seekor anjing yang boleh menyalak dari jauh. Jauhilah sebarang unsur yang boleh meretakkan jamaah. Ketaatan kepada pimpina juga perlu dijaga demi keberadaan jamaah kita.

وصــلى الله على ســيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وســلم

Ringkasan tajuk : Saya mestilah mengetahui sejauh mana ertinya saya menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam, buku “ Apa Ertinya Saya Menganut Islam” karangan Al-Marhumm Syeikh Fathi Yakan.

Sunday, June 14, 2009

DARI ALLAH KITA DATANG KEPADA ALLAH JUA KITA KEMBALI

بسم الله الرحـــمن الرحــيم
الــــحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجــمعين وأما بعد

Bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang berkekalan untuk terus hidup dan berbakti.

Setiap jiwa yang bernyawa, pastinya akan merasai kematian. Inilah satu ketentuan ilahi yang telah ditetapkan oleh Allah sejak azali lagi. Setiap dari kita telah dicatatkan rezekinya, jodohnya dan ajalnya. Semuanya ditentukan Allah jua.

Firman Allah swt dalam surah Ali Imran, ayat 185 ;


Antara perkara yang ghaib yang dirahsiakan Allah adalah kematian. Bilakah ajal kita? Di manakah kita menemui ajal kita? Bagaimana kita mati? Adakah mati dalam keadaan bahagia (husnul khatimah) ataupun sebaliknya? Di manakah jasad kita nanti dikuburkan? Semuanya hanya diketahui olehNya. Antara hikmahnya, sesungguhnya Allah hendak menguji kita sebagai hambaNya adakah kita benar-benar beriman kepadaNya. Sejauhmana kita mamahami hakikat kejadian kita di dunia ini? Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa mengingatinya dan kerugian nyata bagai manusia yang alpa.

Firman Allah swt lagi dalam surah Al-Mukminun, ayat 115 ;


Dari Allah kita datang kepada Allah jua kita kembali. Kematian bukanlah beerti satu pengakhiran. Tetapi ini hanya pemutus hubungan dunia dan sebagai satu alam persinggahan sementara sebelum kita dikumpulkan semula di Mahsyar pada hari yang membawa kebahagiaan selamanya kepada hambaNya yang sentiasa berwaspada dan mendatangkan penyesalan nyata lagi tidak berkesudahan bagi yang sering lalai.

Maka, persiapkanlah diri kita sebelum kita dijemput ajal. Perbanyakkan sedekah jariah yang ikhlas, amalan soleh yang istiqomah melalui ilmu yang bermanfaat dan didikilah anak kita agar menjadi insan soleh dan solehah yang akan sering mengutus doa untuk kita kelak. Benarlah apa yang dinyatakan oleh baginda saw. mafhumnya : jika mati anak Adam, akan terputus segala amalannya melainkan tiga perkara, sedekah jariahnya, ilmunya yang bermanfaat serta anak-anaknya yang soleh mendoakannya.

Saya menyeru diri saya dan sahabat agar sentiasa menuruti perintah Allah swt. Janganlah kita kelak tergolong daripada manusia yang menangis dan menempik akibat kesesalan akibat kealpaan semasa hidup di dunia yang menipu ini.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Saturday, June 13, 2009

DI MANAKAH ADAB KITA?

بسم الله الرحــمن الرحــيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشــرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجــمعين وأما بعد


Firman Allah swt di dalam surah Al-Faatir, ayat 28


maksudnya:sesungguhnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambanNya hanyalah orang-orang yang berilmu.
Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana diberikan nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Setiap manusia mempunyai pandangan dan idea yang tersendiri. Bersetuju dengan sesuatu atau sebaliknya merupakan fitrah manusia dan kita sememangnya tidak akan sempurna dari setiap aspek tutur kata, idea dan sebagainya dari pandangan orang lain. Payah juga untuk memuaskan hati semua orang.

Di dalam Islam, percanggahan pendapat itu wujud dan setiap percanggahan dalam sesuatu pendapat dikalangan para Imam dan Ulamak di dalam menerangkan metod ajaran Islam, ia membawa maksud betapa Islam itu amat kaya dan cantik dalam menyusun atur panduan untuk penganutnya yang pelbagai budaya dan salasilah keturunan. Para ulamak dan Iman juga bercanggahan dalam perkara cabangan sahaja ( furu') bukan masalah utama ( Usul ). Dan setiap inci percanggahan itu disertai dengan adab-adab berkhilaf.

Berbeza dengan apa yang terjadi kini.

Dalam isu berpolitik. Setiap individu mempunyai hak untuk memilih mana pilihan hatinya. Islam tidak menolak politik bahkan ia diajar oleh Rasulullah saw sendiri. Ini hakikatnya.

PAS merupakan sebuah parti yang menjadikan Al-Quran dan Sunnah sebagai panduan perjalannya dan Islam mantlamatnya. Jangan dipertikaikan adakah selain PAS tidak islamik dan tertolak? Kaji dahulu berdasarkan disiplin dan adab ilmu sebagaimana yang diajarkan oleh Islam.

Unity Government ( UG ) atau Kerajaan Perpaduan merupakan sebuah idea daripada Dato' Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang dan ia belum lagi merupakan keputusan PAS itu sendiri. Mengapa perlu berpolimik? Mengapa perlu mengatakan bodoh, boneka UMNO dan sebagainya. Kita siapa yang hendak mengatakan ungkapan biadap seperti bodoh itu? Ilmu kita setara atau tidak dengan orang yang hendak kita bodohkan?

Saya amat KECEWA dan BENCI akan kenyataan sahabat seakidah saya mengenai menilai Ulama Haji Hadi. Mana laras ilmu kita untuk menolak sesuatu manusia yang lebih tinngi ilmunya berbanding kita? Saya juga amat benci dan kecewa dengan usaha media untuk melaga-lagakan kepimpinan ulamak. Ada juga yang kata : tak payah pakai serban melilit la kalau otak 2x5 mcm umno. BIADAP dan TIDAK BERMARUAH. Saya amat BENCI dengan kenyataan ini. Apa kena-megena serban yang ia menjadi amalan sunnah dengan perkara ini?

Ya, Boleh kata "saya tidak bersetuju dengan .... ", boleh juga kata "saya tidak sependapat dengan ...." tetapi amat BIADAP jika terus menghukum "ulamak ini bodoh" dan sebagainya. Ini BUKAN akhlak muslim. Saya ulangi sekali lagi, siapa kita dan setara mana ilmu kita untuk menolak dan menilai seorang ulamak.

Ini bukan masanya untuk menyatakan "adakah ulamak itu maksum sehingga tidak boleh dipertikaikan dan dipersoalkan". Jika kenyataan ini keluar juga, maka, nyata betapa Allah ingin menzahirkan kebodohan diri kita sendiri. Ya, ulamak juga manusia biasa yang tidak maksum tetapi betapa mereka menjaga diri mereka daripada dosa dan setiap katanya juga berdasarkan ilmunya dan ketaqwaan mereka kepada Allah. Boleh untuk bercanggahan pendapat tetapi ada adabnya, ada disiplinya.

Saya sependapat dengan sahabat saya, kami sebagai buruh kasar di dalam PAS amat tidak senang dan benci terhadap sesiapa sahaja yang cuba melaga-lagakan kepimpinan di dalam PAS. Lebih-lebih lagi kepimpinan kami didokongi oleh para Ulamak. Fahami terlebih dahulu metodologi kepimpinan yang diajar oleh Islam. Fahami bagaimana cara untuk kita menyatakan kita tidak sependapat dengan seseorang dan sebagainya. Ini disiplin ilmu yang kian dilupakan. Islam datang dengan hujjah dan setiap hujjah dilengkapi dengn adab berhujjah. Maka, datangkan hujjah dengan adab.

Kepada pada pekerja jamaah Islam, saya menasihati diri saya dan semua agar kita kembali semula kepada disiplin ilmu dan adab-adab bercanggahan pendapat. Fahami dan hayati serta amalkan di dalam jamaah. Pedulikan anasir-anasir luar yang cuba melaga-lagakan sesama jamaah. Mereka umpama anjing yang hanya mampu8 menyalak dari jauh.

وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وسلم

Thursday, June 04, 2009

MONOLOG DIRI

سم الله الـــرحمن الرحيم
الحــــمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشـــرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين وأما بعد

Alhamdulillah, bersyukur saya kehadrat Ilahi kerana nikmat Iman dan Islam serta nikmat kesihatan tubuh badan yang sempurna untuk terus hidup dan berbakti.

Peperiksaan semester kedua, untuk saya sudah tamat hari ini ( rabu, 3 Jun 2008 ). Jika dahulu, gembira dan girang seusai peperiksaan, namun, tidak untuk kali ini. Kenapa? Mengapa? Biar sahaja diri ini yang mengetahui.

Pelbagai perkara yang kita perlu akur sepanjang tempoh hayat di dunia. Hidup tidak seorangan dan bermasyarakat, antara hakikat yang perlu diakui. Kita tidak akan boleh hidup sendirian. Haiwan yang diciptakan Allah juga memerlukan antara satu sama lain, apatah lagi kita kejadian yang diberi nama manusia dan dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan bumi Allah ini dengan ajaran wahyu yang disampaikan baginda Rasulullah saw.

Sepanjang hayat ini juga, kita akan sentiasa berinteraksi antara kita. Tanpa interaksi, kita hanya ibarat "kera sumbang" yang hidup tiada matlamat dan halatuju. Namun, dalam sesuatu komunikasi dan interaksi, ia berkait rapat dengan emosi. Emosi inilah yang boleh membuatkan seseorang berubah watak serta merta.

Diakui, kita tidak akan sesekali dapat memuaskan hati orang lain atau membuatkan orang lain merasa kita sempurna bagi pandangannya. Sesekali akan terluka juga perasaan yang boleh merubah emosi. Fitrah manusia ini mempunyai perasaan suka, sayang dan cinta. Namun, ia juga disertai dengan benci, pemarah, hasad dengki dan pelbagai lagi mazmumah yang melanggar fitra ciptaan manusia.

Kerapkali diri ini termenung sendiri memikirkan diri dan sifat diri ini. Adakah bermusuh atau dimusuhi? Adakah bercita atau dicintai? Semua itu kerap belegar-legar di ruang benak saban hari. Di sekeliling kita, kawan-kawan dan teman-teman boleh menceriakan kita dan ia satu angerah yang perlu dihargai. Saya juga sentiasa mendidik diri agar dapat memahami masalah orang lain dan sedaya upaya memahaminya atau paling tidak, saya boleh menjadi pendengar setia dan pendengar yang baik bagi sesiapa yang mahu berkongsi masalah bersama saya.

Namun, diri ini juga terlalu banyak khilafnya. Manusia juga terlalu subjektif dalam menterjemah sesuatu kesukaan, kesayangan atau kemarahan yang terpendam di sanubari. Melalui tindakan yang kadang kala dangkal secara drastik atau kadangkala dengan diamnya itu sudah membawa erti akan perubahan emosi dirinya. Namun, saya masih lagi belum berjaya dalam berinteraksi memahami jiwa juga saya juga tidak lagi menemui orang yang benar-benar memahami jiwa ini.

Mungkin tidak bermakna tulisan kali ini. Mungkin juga tidak memahami apa yang saya maksudkan. Cuma, apa yang dipendam di hati, ini yang diterjemahkan melalui jejari. Mungkin juga saya perlu akui akan pepatah "sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula sesama saudara". Ya, kita manusia biasa. Apa yang perlu, sifat mudah memaafkan, ia akan membantu dalam berinteraksi dengan ketenangan.

Aku adalah aku, dan aku tetap aku. Apa yang engkau pandang diri ini, mungkin itu yang dinilai dari sudut matamu. Namun, hanya aku yang mengetahui diri sendiri.

وصلى الله على ســيدنا محمد وعلى آله وأصحابه وســلم

KONGSI BERSAMA

RAKAN SEPERJUANGAN